Para menteri kewangan zon euro mencapai persetujuan bagi bantuan penyelamat kedua bagi Greece, semalam.
Pakej itu bertujuan menghuraikan keperluan kewangan jangka pendek negara itu tetapi para pengamat berkata ia tidak mungkin dapat menyemarakkan semula ekonomi negara itu yang sudah runtuh.Selepas rundingan selama 13 jam, para pegawai zon euro berkata Greece akan menerima pakej penyelamat kedua bernilai 130 bilion euro Ini selepas para perunding bagi pihak pemegang bon swasta bersedia menerima kerugian lebih besar bagi pembayaran semula hutang mereka.
Pakej tersebut dijangka mengurangkan hutang Greece kepada 121 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri ( GDP) menjelang 2020, menurut dua pegawai kanan Kesatuan Eropah (EU), lapor Reuters.Pakej penyelamat kedua itu bagaimanapun mempunyai syarat-syarat yang ketat, bagi membantu memberikan keyakinan kepada negara itu selepas menghadapi ketidaktentuan sejak beberapa bulan lalu, yang menjejas nilai euro dan hampir menjadikan negara itu muflis.'Kami telah mencapai perjanjian program baru bagi Greece dengan penglibatan sektor swasta yang akan dapat mengurangkan jumlah hutang Greece dan membuka jalan bagi lebih banyak pembiayaan rasmi baru bagi memastikan masa depan Greece dalam zon euro,' kata Cik Jean-Claude Juncker, yang mempengerusikan rundingan para menteri kewangan kumpulan Euro itu, dalam satu sidang akhbar semalam.
Mata wang euro melompat hampir setengah peratus, mengubah kerugian awal, selepas laporan mengenai pelan penyelamat kedua itu diumumkan.
Satu laporan pakar-pakar Kesatuan Eropah, Bank Pusat Eropah dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata, Greece perlukan bantuan tambahan bagi mengurangkan hutangnya ke paras sasaran hutang rasmi memandangkan keadaan ekonomi yang lembap ketika ini.Jika Athens tidak melaksanakan reformasi ekonomi dan strategi penjimatan, hutangnya akan mencecah 160 peratus daripada GDP, menurut laporan Reuters itu lagi.'Dengan risiko ini program Greece ini mungkin menghadapi masalah dan sukar dikekalkan,' ujar kenyataan sembilan muka surat yang didapati Reuters itu.
Pakej kedua itu akan dapat mengurangkan hutang Greece kepada 100 bilion euro.Ia merupakan pakej kedua selepas pinjaman darurat pertama Greece, bernilai 110 bilion euro, yang terdiri daripada pinjaman dua hala pemerintah-pemerintah zon Euro dan IMF pada Mei tahun lalu.Pengamat ekonomi berkata, pakej baru itu 'hanya akan dapat memperlahankan kesan krisis hutang itu bagi beberapa bulan terhadap ekonomi negara itu.'Pemulihan semula mungkin mengambil masa lebih sedekad ,' ujar seorang pengamat.

Post a Comment