Home » » Hadi Awang : PAS tutup pintu cadangan bukan islam pegang jawatan tertingi parti.

Hadi Awang : PAS tutup pintu cadangan bukan islam pegang jawatan tertingi parti.


 Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang, telah menutup pintu atas cadangan bukan Muslim dibenarkan memegang jawatan tertinggi dalam PAS kerana perkara itu jelasnya bertentangan dengan perlembagaan parti.

'Tidak masuk akal untuk bukan Muslim memegang jawatan Timbalan Presiden PAS kerana ini negara Islam.
'Dalam negara komunis, ada bukan Komunis dilantik menjadi ketua? Mereka (bukan Muslim) tidak boleh dilantik mengisi jawatan tertinggi dan ini pegangan kita,' katanya yang dipetik akhbar News Straits Times (NST) semalam.
Namun begitu, beliau menambah bukan Muslim dalam parti komponen Pakatan Rakyat (PR) boleh memegang jawatan menteri sekiranya pembangkang menguasai Putrajaya.
Kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi itu sebagai respons kepada Ketua Kajiselidik PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, yang mendakwa parti itu bersedia menerima bukan Muslim dilantik menjadi Timbalan Presiden.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata parti itu bersedia menerima tindakan Parti Keadilan dan Kebebasan Mesir (FJP) yang melantik intelek Kristian Koptik, Encik Rafiq Habib, sebagai Naib Presiden mereka tahun lepas.
Dr Dzulkefly berkata tindakan itu tidak menyalahi Islam kerana hanya 'melibatkan pentadbiran' dan dibenarkan kerana Islam menerima perubahan pembaharuan intelektual.

Kenyataannya itu menerima kritikan hebat daripada pemimpin parti seperti Ketua Dewan Pemuda PAS, Encik Nasrudin Hassan Tantawi dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Haron Taib.
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut menyindir parti itu supaya melantik pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Lim Kit Siang sebagai presiden mereka.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, sebelum ini berkata kenyataan Dr Dzulkefly itu hanya bersifat teori dan sukar dilaksanakan berdasarkan keadaan semasa.

'Saya rasakan PAS harus kekalkan apa yang ada sekarang. Sekiranya bukan Muslim berminat, mereka boleh mengemukakan cadangan melalui sayap parti,' kata Datuk Mustafa Ali yang dipetik Sinar Online.
Bagaimanapun, Datuk Mustafa menambah walaupun perlembagaan parti melarang bukan Muslim memimpin parti, beliau tidak memberi jaminan sekiranya perkara itu boleh berlaku di masa hadapan.

Share this article :

Post a Comment