Home » » Tangani tekanan kewangan

Tangani tekanan kewangan

KUALA LUMPUR 30 Nov. – Rang Undang-undang Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) penting bagi membolehkan masalah tekanan kewangan yang dihadapi golongan berpendapatan sederhana di bandar dan pinggir bandar ditangani dengan segera, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, ia juga diperkenalkan untuk mengawal selia perkara-perkara yang berkaitan dengan pembangunan dan pembinaan perumahan, infrastruktur dan kemudahan di bawah program PR1MA.

Menurutnya, selain itu, kewujudan rang undang-undang ini juga membolehkan satu badan berkanun yang diasingkan iaitu PR1MA Corporation Malaysia ditubuhkan.

‘‘Penubuhan perbadanan itu sebagai satu institusi yang mempunyai fokus khusus bagi menangani isu tekanan kewangan bagi golongan tersebut.

‘‘Melalui inisiatif itu, satu model pembangunan perumahan yang strategik di peringkat nasional dapat diwujudkan bercirikan integrasi antara pembangunan kompleks kediaman berkualiti mampu milik serta kemudahan bagi masyarakat setempat.

‘‘Ciri-ciri integrasi ini bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan mapan serta meringankan kos sara hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perumahan Rakyat 1Malaysia 2011 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Kata Najib, trend urbanisasi di negara ini semakin meningkat iaitu jumlah golongan yang menghadapi tekanan kewangan bertambah dan memerlukan campur tangan segera kerajaan untuk menangani masalah yang dihadapi mereka.

Justeru, jelasnya, golongan yang susah di bandar dan miskin di luar bandar merupakan satu fenomena yang perlu diambil serius oleh kerajaan.

Malah, bahang kemiskinan lebih dirasakan di kawasan bandar berbanding luar bandar ekoran kos sara hidup yang tinggi.

Share this article :

Post a Comment