Home » » Dana asing salur dana untuk guling kerajaan- Mahathir

Dana asing salur dana untuk guling kerajaan- Mahathir


Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah menyifatkan orang Melayu di Malaysia sebagai "tidak tahu bersyukur" dan "kurang cerdik" apabila membuat keputusan.
Beliau memberi amaran bahawa ketamakan beberapa orang Melayu yang gilakan kuasa dalam pihak pembangkang akan mengakibatkan kaum paling dominan dalam negara itu kehilangan kuasa politiknya.
Beliau turut memberi amaran kepada rakyat Malaysia bahawa para pembiaya asing sedang menyalurkan dana mereka kepada sebuah pertubuhan bukan milik kerajaan (NGO), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), untuk menggulingkan kerajaan dan mahu menjadikan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai perdana menterinya.
Tun Dr. Mahathir  yang pernah memerintah Malaysia selama 22 tahun itu sebagai berkata bahawa beliau kesal melihat bangsa Melayu bergaduh sesama sendiri hanya kerana mahu merebut kuasa.

"Saya sedih melihat bangsa sendiri tidak tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa sendiri," kata Dr Mahathir dalam akhbar arus perdana milik Umno itu, yang turut dilaporkan oleh laman berita The Malaysian Insider (TMI), semalam.
"Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah dahulu. Mereka tidak pun mengakui akan nikmat yang banyak dinikmati setelah merdeka dan mereka menerajui kerajaan-kerajaan Malaysia merdeka," kata beliau sambil menambah bahawa kemerdekaan Malaysia telah dikecapi hasil kekuatan orang Melayu yang menyokong Umno dan rakannya dalam Perikatan.
"Sekarang orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat sokongan orang lain," ujar Dr Mahathir sambil menekankan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan suatu hari kelak orang Melayu terpaksa mengikut telunjuk orang lain jika keadaan sekarang berterusan.
Selain itu, Dr Mahathir turut mendakwa bahawa para pembiaya asing menyalurkan dana kepada Suaram untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menjadikan Datuk Seri Anwar sebagai perdana menteri baru negara itu melalui modus operandi yang sama dijalankan pihak negara asing dalam gerakan Arab Spring yang menumbangkan para pemimpin di beberapa negara Arab.
"Ini bukan inisiatif rakyat Malaysia tetapi inisiatif orang asing. Takkan kita hendak dikuasai oleh orang asing? Dia bagi duit sana nak bagi jatuh kerajaan supaya orang dia dapat naik dan orang dia di sini secara terang lagi bersuluh, dia nak (Datuk Seri) Anwar," kata Dr Mahathir dalam laporan akhbar itu.
Share this article :

Post a Comment