Home » , » Anwar Ibrahim punca PAS hilang sokongan- Penyokong PAS

Anwar Ibrahim punca PAS hilang sokongan- Penyokong PAS


DALAM penulisan kali ini, penulis merasa terpanggil dan melihatnya sebagai satu tanggungjawab bagi menyampaikan beberapa perkara yang dilihat mempunyai impak dan ianya amat penting untuk dikongsi kepada pimpinan Pas khususnya buat Mursyidul Am dan Presiden Pas.


Dalam penulisan sebelum ini yang disiarkan dalam Sinar Harian Online bertajuk Pilihan Raya Umum ke-13: Ujian Getir Buat Pas, penulis telah menerangkan secara terperinci dan lebih spesifik mengapa penulis melihat Pas bakal mengharungi cabaran getir dalam berhadapan dengan PRU13 dan komen-komen yang diberikan melalui blog-blog dan Facebook yang berkecuali melihat perkara yang disampaikan sesuatu yang perlu diambil berat oleh kepimpinan Pas.

Rentetan daripada itu, penulis melihat pada ketika ini di kalangan parti politik, pemimpin parti politik, ahli-ahli parti politik, penganalisis politik negara dan tidak kurang juga masyarakat awam masing-masing begitu yakin bahawa parti mereka berada di kedudukan yang terbaik untuk mencapai kejayaan dalam PRU13. Persoalan awal, bilakah PRU13 berpotensi diadakan? Penulis begitu yakin dengan senario mutaakhir ini PRU13 besar kemungkinan diadakan pada bulan Jun ini. 

Terdapat banyak indikator yang memungkinkan PRU-13 diadakan pada bulan Jun ini dan salah satu yang penulis lihat menjadi dorongan terbesar kepada kemungkinan tersebut adalah melalui kenaikan gaji kira-kira 1.4 juta kakitangan awam yang akan dimuktamadkan selewat-lewatnya pada pertengahan bulan April 2012. Kakitangan awam dijangka akan menerima gaji baru beserta tunggakan dari Januari 2012 melalui gaji yang besar kemungkinan akan dikreditkan pada bulan Mei 2012. 



Penulis berkeyakinan kerajaan tidak akan menunggu lama untuk membubarkan Parlimen selepas daripada pemberian gaji tersebut dan bulan Jun ini merupakan masa yang terbaik kerana istilah daripada mantan Perdana Menteri iaitu ‘Melayu Mudah Lupa’ begitu signifikan dalam hal ini kerana majoriti iaitu lebih 70 peratus daripada kakitangan awam adalah terdiri daripada etnik Melayu dan Islam. 

Faktor lain yang dilihat tidak kurang penting adalah persekitaran ekonomi pada ketika ini dan tidak lupa juga dengan pembentukan ‘feel good factor’ contohnya melalui bantuan one off yang diberikan oleh kerajaan pada ketika ini iaitu bantuan RM500 1Malaysia (BR1M) yang melibatkan 5.2 juta isi rumah dengan kos RM2.6 bilion dan Baucer Buku RM200 kepada pelajar-pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi. Dengan mengambil kira semua faktor ini pada hemat penulis, kerajaan besar kemungkinan akan mempertimbangkan keberkesanan faktor-faktor ini dan mengadakan PRU13 pada Jun ini.

Adakah parti-parti politik bersedia berhadapan dengan kuasa rakyat dengan berlakunya PRU13? Apakah kemungkinan-kemungkinan yang  boleh terjadi melalui PRU13? Penulis akan menghuraikan beberapa kemungkinan prestasi dan unjuran PRU13 berdasarkan kepada senario semasa pada ketika ini. Penulis juga akan menjelaskan faktor-faktor yang bakal menyumbang kepada kemungkinan tersebut. Pertamanya penulis menyenaraikan tujuh emungkinan unjuran PRU-13 seperti di bawah:

a) BN berpotensi untuk kembali mendapat semula mandat dua pertiga di peringkat Parlimen.

b) Negeri Kedah berpotensi untuk kembali semula kepada penguasaan BN.

c) Negeri Kelantan berpotensi untuk kekal dengan kemenangan tipis oleh Pas dan penulis tidak menolak kemungkinan BN berjaya mencipta sejarah mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Kelantan selepas 22 tahun di bawah pemerintahan Pas.

d) BN berpotensi mengambil alih kerajaan Negeri Selangor.

e) Pulau Pinang berpotensi kekal di bawah penguasaan DAP dan Pakatan Rakyat.

f) Sebahagian tokoh-tokoh Pas berpotensi untuk kecundang di kawasan yang ditandingi oleh mereka khususnya di kawasan yang mempunyai populasi 70 peratus dan ke atas pengundi Melayu dan Islam.

g) Keputusan PRU13 berpotensi untuk memberikan kemenangan besar kepada dua  komponen parti politik iaitu Umno dan DAP. Pas, PKR dan MCA berpotensi untuk berhadapan dengan kekalahan besar akibat gelombang perubahan rakyat. Sekiranya ini berlaku bermakna pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan kemungkinan kerajaan Melayu dan pembangkang Cina dilihat sebagai suatu situasi yang semakin berpotensi untuk berlaku selepas PRU13.

Perjuangan Pas – Antara Negara Kebajikan atau Negara Islam

Penulis melihat faktor yang terbesar menyumbang kepada unjuran di atas adalah disebabkan oleh peralihan undi masyarakat Melayu dan Islam daripada menyokong Pas dan Pakatan Rakyat semasa PRU12, akan kembali semula menyokong dan mengundi Umno dan BN pada PRU13.


Perkara ini dapat dilihat dengan jelas oleh penulis melalui analisis kandungan yang dibuat di blog-blog, Facebook, komen-komen pembaca di platform yang berkecuali.


Pada hemat penulis, rata-rata masyarakat Melayu dan Islam pada ketika ini tidak melihat Pas sama sebagaimana mereka melihat Pas sebelum ini.

Jelas sekali pada kata mata mereka Pas sudah berubah. Walaupun pahit untuk disebut tetapi inilah hakikatnya di mana Pas ‘dilihat’ oleh masyarakat Melayu dan Islam telah lari daripada landasan penubuhan Negara Islam dan undang-undang Islam.

Sungguhpun pimpinan Pas memperjelaskan bahawa konsep Negara Kebajikan adalah suatu konsep yang berlandaskan Islam tetapi ia tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu dan Islam terutamanya pengundi di atas pagar.


Penulis tidak mengenali Dr. Hasan Ali tetapi penulis melihat pandangan Dr. Hasan Ali agar Pas kembali semula kepada konsep Negara Islam adalah selari dengan harapan masyarakat Melayu dan Islam agar Pas kembali menegakkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam di Malaysia. 



Persoalan yang menarik, melalui kerjasama dalam Pakatan Rakyat, mampukah Pas melaksanakan hukum-hukum Islam sekiranya diberikan peluang untuk memerintah? Adakah PKR dan DAP terutamanya akan bersetuju? 

Sekiranya dilihat secara rasional dan berpijak di bumi yang nyata dengan mengambil kira situasi semasa hampir-hampir mustahil untuk Pas menegakkan undang-undang Islam di Malaysia sebagaimana yang telah dilaungkan selama berpuluh-puluh tahun sejak daripada penubuhan Pas.


Bagaimana DAP boleh bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang Islam di Malaysia sedangkan perkara-perkara yang telah berlaku sebelum ini sebagai contoh isu pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama, isu sambutan Hari Kekasih, larangan pengoperasian Pusat Hiburan semasa bulan Ramadan di Negeri Kedah dan pelbagai isu lain mendapat tentangan daripada pimpinan DAP.


Ini ditambah pula dengan kenyataan daripada Ketua Umum PKR di mana pelaksanaan undang-undang hudud memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat dan ia bukan dasar dalam Pakatan Rakyat. Sekiranya ia tidak mendapat persetujuan DAP, maka Pas tidak dapat melaksanakan hukum hudud walaupun di Kelantan sekalipun.

Ini bermakna Pas terikat dengan dasar Pakatan Rakyat iaitu Buku Jingga dan tidak dapat melaksanakan hukum Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan Hadist Nabi.    


Pembentukan persepsi ‘PAS sentiasa mengalah kepada DAP’

Penulis melihat Pas merupakan sebuah parti politik matang yang mempunyai toleransi yang tinggi dan boleh dibawa berbincang dalam sebarang isu di kalangan rakan dalam Pakatan Rakyat mahupun dengan BN.


Walau bagaimanapun, penulis melihat berdasarkan kepada situasi semasa, Pas dilihat oleh kebanyakan orang Melayu dan Islam sudah melebihi daripada garisan batasan perbincangan dan sedang menuju ke arah pembentukan persepsi dari kalangan orang Melayu dan Islam iaitu ‘Pas sentiasa mengalah kepada DAP’.


Penulis mengambil beberapa senario sebelum ini untuk difikirkan bermula daripada pembentukan Kerajaan Negeri Perak sehinggalah ke isu terbaru iaitu iaitu kenyataan Ketua Umum PKR berkaitan isu Israel dan Palestin.



Pertamanya, sebaik sahaja BN tidak memperoleh mandat untuk memimpin Perak, maka ia telah membuka ruang untuk perbincangan di kalangan parti politik iaitu Pas, DAP dan PKR untuk mendapat kesepakatan bagi pembentukan Kerajaan Negeri Perak yang baru.

Pada ketika itu amat jelas sekali bahawa Pas, DAP dan PKR tidak sepatutnya mempunyai sebarang masalah untuk mencalonkan pemimpin Melayu dan Islam sebagai Menteri Besar Perak.


Disebabkan kebuntuan menamakan bakal Menteri Besar Perak maka jalan penyelesaian dibuat oleh Pas, DAP dan PKR adalah melalui setiap parti mencalonkan seorang nama bagi dipersembahkan kepada Sultan Perak untuk dipilih sebagai Menteri Besar Perak.


Hanya di atas kebijaksanaan Sultan Perak, maka baginda telah melantik wakil Pas iaitu seorang Melayu dan Islam sebagai Menteri Besar Perak dan hal ini telah menyebabkan pimpinan tertinggi DAP ingin memboikot majis angkat sumpah tersebut walaupun selepas itu mereka telah memohon maaf di atas tindakan mereka dan majlis pelantikan Menteri besar Perak dari Pas telah berjaya disempurnakan.

Situasi itu tidak berakhir setakat itu sahaja dan ia berterusan dengan pelantikan Exco Kerajaan Negeri Perak di mana hanya tiga Exco sahaja daripada 10 kerusi diperuntukkan kepada orang Melayu dan Islam iaitu 30 peratus sahaja walhal populasi penduduk Melayu dan Islam melebihi 55 peratus daripada keseluruhan penduduk di Negeri Perak.

Tetapi ia telah berlaku dan salah satu pihak iaitu Pas terpaksa mengalah bagi membolehkan Pas, PKR dan DAP membentuk kerajaan di Negeri Perak. Ia juga dilihat berlaku di Negeri Selangor di mana pihak DAP telah meminta untuk dilantik wakilnya sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor dan hanya disebabkan oleh kebijaksanaan Sultan Selangor, maka ia tidak menjadi kenyataan.



Selain itu pecahan bilangan Exco Kerajaan Negeri Selangor iaitu lima Exco Islam dan lima Exco bukan Islam tidak mencerminkan populasi sebenar penduduk Negeri Selangor dan pembahagian ini juga tidak mencerminkan bilangan keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor yang mana 36 kerusi iaitu 64 peratus yang disandang oleh etnik Melayu dan Islam,  17 kerusi iaitu 30 peratus etnik Cina dan tiga kerusi iaitu 5 peratus etnik India.

Secara kiraan mudahnya sekurang-kurangnya enam kerusi Exco Kerajaan Negeri Selangor sepatutnya dipegang oleh etnik Melayu dan Islam. Disebabkan kesepakatan dan tolak ansur, maka bilangan Exco tersebut telah diterima dan dilaksanakan seperti mana telah berlaku.

Di sebalik pembentukan kerajaan negeri Perak dan Selangor iaitu isu pelantikan Menteri Besar Perak, isu pelantikan Timbalan Menteri Besar Selangor, isu pembahagian Exco Kerajaan Negeri Perak dan Selangor yang tidak seimbang, lebih mengeruhkan keadaan selepas itu adalah isu penjualan arak di Selangor dan isu larangan atas pusat hiburan di Negeri Kedah semasa bulan Ramadan dan akhirnya pada hemat penulis perkara terpenting sebagai pelengkap kepada kejayaan bantahan DAP adalah dengan membantah pelaksanaan undang-undang hudud yang membantutkan usaha Pas kerana memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dan ia tidak dimasukkan dalam Buku Jingga dan polisi Pakatan Rakyat. Semua isu ini telah berjaya membentuk dan menguatkan lagi persepsi di kalangan masyarakat Melayu dan Islam yang menjurus ke arah ‘Pas sentiasa mengalah kepada DAP’.

Pada hemat penulis, Pas begitu konsisten dalam menentang ‘Negara Haram Israel’ dan disebabkan oleh perkara tersebut Mursyidul Am Pas dan Majlis Syura Ulama Pas meminta Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik kenyataan untuk memberikan sokongan bersyarat kepada Israel atau menyaman akhbar Wall Street Journal.  Anwar telah mempertahankan kenyataannya dan menganggap terdapat perbezaan pandangan antara Pas dan PKR walaupun berkongsi pendirian yang sama berkaitan pembentukan Negara Palestin.


Persoalannya, Anwar tidak membuat pilihan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama sama ada menarik balik kenyataan untuk memberikan sokongan bersyarat kepada Israel atau menyaman akhbar Wall Street Journal. Ini bermakna tuntutan dan pilihan yang diberikan oleh Majlis Syura Ulama tidak digunakan oleh Anwar, bahkan beliau mempertahankan pendiriannya.


Persoalannya, apakah Pas tidak sedar dengan apa yang telah berlaku dan hanya gagah dalam konteks Pas sahaja dan tekanan yang diberikan tidak mempunyai impak kepada Anwar dan Pakatan Rakyat? Adakah Pas hanya gagah dalam isu melibatkan ahlinya dan Hasan dan kendur dalam isu melibatkan sekutunya dan Anwar?



Penulis melihat inilah antara beberapa punca yang menyebabkan peralihan sokongan masyarakat Melayu dan Islam daripada Pas kepada Umno.

Cadangan Kepada Mursyidul Am dan Presiden Pas

Pada hemat penulis, masih belum terlambat lagi bagi Pas untuk memperbetulkan keadaan dan kepincangan yang telah berlaku sebelum ini yang menjarakkan sokongan masyarakat Melayu dan Islam kepada Pas.


Sungguhpun Pas pada ketika ini sedang berusaha mendapatkan undi masyarakat bukan Islam tetapi Pas perlu ingat bahawa daripada permulaan penubuhan Pas dan sehinggalah sebelum PRU12, keberadaan Pas atas sokongan masyarakat Melayu dan Islam.


Sekiranya Pas berhasrat untuk mengembalikan semula sokongan masyarakat Melayu dan Islam dan sekurang-kurangnya dapat mempertahankan kerusi-kerusi dan negeri yang majoritinya adalah masyarakat Melayu dan Islam, kepimpinan Pas terutamanya Mursyidul Am dan Presiden Pas perlu menilai cadangan-cadangan daripada penulis seperti di bawah:



a) Mengkaji semula kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat. Sekiranya Pakatan Rakyat bukan suatu platform untuk memperjuangkan dasar-dasar dan undang-undang Islam termasuk undang-undang hudu, maka Pas sudah sepatutnya tidak boleh berada dalam Pakatan Rakyat dan perlu berjuang secara bersendirian. Sekurang-kurangnya Pas boleh mempertahankan kerusi dan negeri yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan yang lebih penting sekali Pas sentiasa dilihat sebagai sebuah parti politik yang berprinsip, sesuatu yang pada ketika ini ramai masyarakat Melayu dan Islam yang prejudis dan mempertikaikan prinsip Pas yang berkompromi dengan DAP dan PKR. Pas juga akan dikenang sebagai sebuah parti politik yang setiakawan dalam Pakatan Rakyat yang berkerjasama sepanjang tempoh pemerintahan selepas PRU12 dan membuat laluan berbeza selepas pembubaran Parlimen tidak lama lagi. Bukti yang menunjukkan setiakawan Pa selepas PRU12 di mana Pas menolak sekurang-kurangnya dua pelawaan kerjasama dengan Umno dan tawaran jawatan Menteri Besar yang diberikan kepada Pas di negeri Selangor dan Perak melalui kerjasama tersebut.

b) Pas perlu kembali semula kepada kerangka konsep Negara Islam. Pas telah mengambil masa yang begitu lama untuk menjelaskan dan memberi kefahaman tentang konsep Negara Islam dan undang-undang Islam termasuk undang-undang hudud. Adalah amat rugi bagi Pas memperkenalkan dan menggunakan konsep baru iaitu Negara Kebajikan yang memerlukan masa yang begitu lama untuk diperjelaskan kepada ahli Pas dan pengundi di atas pagar dan meninggalkan konsep lama iaitu konsep Negara Islam yang telah sebati dalam sanubari ahli Pas dan telah difahami konsepnya oleh pengundi di atas pagar.

c) Pas perlu melihat semula kesan pemecatan Hasan Ali dan Pas pada ketika ini sepatutnya telah mengetahui kesan pemecatan tersebut walaupun sebelum ini pimpinan Pas menyebut mereka tidak bimbang dengan siri jelajah Hasan.

Penulis melihat Pas berada di situasi yang sukar pada ketika ini dengan pelbagai cabaran yang mendatang. Pas perlu berhadapan dengan masalah ini dengan mengambil pendekatan yang bersesuaian. Mesej penulis telah diberikan kepada pimpinan Pas untuk difikirkan. 

Janganlah harap guruh di langit, air tempayan dicurahkan. Janganlah mengharap untuk mengambil alih Putrajaya dan akhirnya kehilangan negeri yang dimenangi pada ketika ini.  



Fokus utama Pas pada ketika ini adalah mengembalikan semula sokongan masyarakat Melayu dan Islam kepada mereka yang jelas menunjukkan tanda-tanda kemerosotan. Sekiranya langkah-langkah yang sepatutnya diambil tidak diambil, maka Pas berpotensi untuk kehilangan undi masyarakat Melayu dan Islam. Pada ketika itu, janganlah pula dipersalahkan pengundi Melayu dan Islam lantaran tidak mengundi Pas kerana isyarat awal kepada Pas telah diberikan.

* Penulis adalah pelajar Malaysia yang sedang membuat PhD di luar negara.

Sumber - Sinar Harian
Share this article :

Post a Comment