Home » » Malaysia destinasi utama pelancong muslim di dunia

Malaysia destinasi utama pelancong muslim di dunia


Malaysia menduduki tempat pertamadalam senarai 10 destinasi utama terbaik yang dikunjungi para pelancong Muslim sedunia dalam 2010.  Ia diikuti oleh Turkey dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun dari segi negara bukan Islam, Singapura menduduki tempat pertama bagi destinasi utama yang dikunjungi para pelancong Muslim sedunia. Di belakang Singapura ialah Russia, China, Perancis, Thailand, Italy dan Syria.
Demikian dapatan kajian Pasaran Pelancongan Gaya Hidup Muslim Global: Lanskap dan Keperluan Pelanggan yang dijalankan bersama oleh DinarStandard, sebuah firma penasihat dan kajian pasaran berpangkalan di New York, dan Crescentrating, syarikat penilaian mesra halal berpangkalan di Singapura.
Kajian tersebut merangkumi 47 negara bagi pasaran pelancongan Muslim di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Crescentrating,  Fazal Bahardeen, berkata destinasi utama pelancong Muslim utama itu berdasarkan jumlah lawatan yang dilakukan para pengunjung Muslim di negara-negara dunia dalam 2010.
"Berdasarkan kajian ini,  Malaysia, yang menduduki tempat teratas bagi destinasi utama pengunjung Muslim, mempunyai 3.2 juta lawatan oleh pengunjung Muslim.
Kajian itu juga menunjukkan pelancong Muslim sejagat mewakili pasaran  tersendiri bernilai AS$126.1 bilion dalam 2011 dan meningkat secara purata 4.8 peratus hingga 2020 berbanding purata global 3.8 peratus.

Keseluruhannya, apabila ditanya kajian itu apakah yang penting bagi pelancong Muslim semasa melancong? Jawapan-jawapan utama yang diterima adalah makanan halal (67 peratus); diikuti oleh harga keseluruhan (53 peratus) dan kemudahan-kemudahan mesra Muslim (49 peratus).
 Fazal berkata, destinasi seperti Thailand dan Australia, terutamanya Gold Coast, kini menimbangkan keperluan para pelancong Islam dalam perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan yang mereka sediakan. Ini termasuk bilik-bilik solat di lapangan terbang dan hotel-hotel, restoran-restoran halal dan juga spa yang menuruti peraturan agama.
Pengarah Urusan DinarStandard,  Rafi-uddin Shikoh, berkata pelancong Muslim mungkin merupakan pasaran terbesar yang belum dimanfaatkan oleh industri pelancongan.
"Syarikat-syarikat penerbangan, pelancongan, hotel-hotel dan pusat-pusat peranginan boleh meraih faedah tinggi dengan melayani gaya hidup pengunjung Muslim yang unik termasuk menyediakan makanan halal, sekitaran mesra keluarga dan kemudahan-kemudahan bagi amalan keagamaan," tambah beliau.
Kajian itu juga menunjukkan negara-negara Muslim yang paling banyak menerima pelancong Muslim pada tahun lalu adalah Arab Saudi. Ia diikuti oleh Iran, Amiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Kuwait.
Kajian itu juga mendapati perbelanjaan oleh pelancong Muslim tumbuh lebih cepat daripada kadar global dan diramalkan mencapai AS$192 bilion setahun menjelang 2020 - meningkat AS$126 bilion berbanding 2011.

DESTINASI UTAMA PELANCONG MUSLIM
1. Malaysia
2. Turkey
3. Amiriah Arab Bersatu
4. Singapura
5. Russia
6. China
7. Perancis
8. Thailand
9. Italy
10. Syria
Sumber: DinarStandard & Crescentrating
Share this article :

Post a Comment