Home » » Tahniah PAS, yang semakin terbuka dan tidak jumud

Tahniah PAS, yang semakin terbuka dan tidak jumud

Oleh Suara Pakatan Rakyat
PENULIS sanjung dan sambut baik keterbukaan Pengerusi Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) yang baru, Datuk Salleh Man yang tidak mudah terpengaruh dengan desakan pihak-pihak kurang akal yang mahu replika arak bagi tujuan promosi disebuah pasar raya di Pulau Pinang, dirobohkan.
Begitu juga dengan pemuda PAS negeri yang turut tidak terikut-ikut dengan fahaman agama sempit sesetengah pihak yang mahu replika tersebut dirobohkan kerana menggangu kesucian Islam.  Mungkin ada yang bercakap sana sikit sini sikit, tapi tidaklah menjejaskan.
Sebetulnya, penulis tidak faham dengan tindakan segelintir orang yang membantah pembinaan replika tersebut, apatah lagi bila ada yang mengatakan replika tersebut bercanggah dengan peruntukkan perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

Apa kena mengena pun penulis tidak tahu.  Seperti disebutkan pakar perlembagaan Dr. Aziz Bari dan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini, Islam dalam perlembagaan bermaksud untuk kegunaan istiadat dan acara-acara tertentu berkaitan orang Melayu dan raja-raja sahaja.
Nak bina replika seumpama itu tidak ada masalah.
Secara peribadi, penulis tidak nampak masalahnya dengan terdirinya replika arak tersebut.  Adakah dengan tegaknya replika itu bermaksud semua orang Islam akan mula berpusu-pusu meminum arak itu?
Sudah tentu tidak.
Mungkin ada sedikit sensitif kerana replika itu didirikan sempena dengan bulan Ramadhan, tapi itu tidak sepatutnya menjadi masalah kerana iklan tersebut menumpukan kepada orang bukan Islam sahaja yang tidak terlibat dengan ibadah puasa di bulan Ramadhan.
Lagipun ini Malaysia, negara milik pelbagai bangsa, kaum dan kepercayaan agama, bukan dimonopoli oleh penganut agama tertentu sahaja, dan makin ramai orang semakin sedar akan hakikat itu.
Menariknya, peningkatan kesedaran ini hanya berlaku di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat.  Inilah sebenarnya pembaharuan dalam bermasyarakat yang diimpikan ramai dari kita, bebas dari segi maksud dan penghayatan.
PAS dalam hal ini tidak terkecuali.
Replika ini adalah kes kedua seumpamanya yang memperlihatkan keterbukaan PAS, sebelum ini sebuah pasar raya di Selangor juga telah mengadakan promosi arak sempena bulan Ramadhan, juga tidak mendapat bantahan dari PAS negeri tersebut.
Pada pendapat penulis, PAS mulai sedar bahawa pandangan dan pendapat yang mengatakan replika itu menyentuh sensitiviti umat Islam, adalah pandangan lama dan perlu dibuang.  Malaysia amnya dan Pulau Pinang khasnya, bukanlah sebuah negara dengan perundangan Islam dimana ‘sensitiviti’ ini begitu banyak diperkatakan.
Negara ini adalah negara dengan pelbagai kepercayaan dan agama.  Kalau orang Islam ada sensitiviti, orang lain pun begitu juga.
Bagaimana kita mahu membangun lebih maju lagi kalau kerajaan perlu melayan ‘sensitiviti’ semua orang?  Adalah lebih baik, masa yang terbuang itu digunakan untuk menjana aktiviti ekonomi yang lebih menguntungkan negara dan rakyat.

Share this article :

Post a Comment