Selepas macam-macam fitnah yang puak-puak pembangkang buat untuk burukkan Malaysia melalui media asing, Alhamdulilah, negara sekarang ini berada di tangga ke-24 sebagai negara yang mempunyai daya tarikan ekonomi di kalangan pelabur asing, naik enam anak tangga daripada 132 negara di seluruh dunia.
Untuk rekod pada 2010, Malaysia berada di tangga ke-30 daripada 125 negara ekonomi.
Perkembangan semasa ini boleh buat pemimpin pembangkang termenung panjang, sebab Laporan Daya Tarikan Dagangan Global 2012 yang dikeluarkan yayasan tidak berasaskan keuntungan berpangkalan di Geneva, Forum Ekonomi Dunia (WEF) menunjukkan Malaysia berada di kalangan negara teratas dengan memiliki 20 peratus daya tarikan ekonomi global.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, laporan itu menunjukkan kedudukan Malaysia mengukuh sebagai negara yang mesra pelabur asing berdasarkan beberapa pendekatan yang diambil untuk menarik pelaburan.
“Laporan WEF itu bersandarkan kepada analisa empat faktor daya tarikan pelaburan iaitu persekitaran perniagaan, akses pasaran, pentadbiran sempadan serta pengangkutan dan infrastruktur komunikasi.
“Di kalangan negara Asia Pasifik, Malaysia memperbaiki dua kedudukan ke tangga keenam daripada 21 negara melepasi Taiwan di tangga ketujuh dan Korea kelapan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Sepuluh negara yang mempunyai daya tarikan paling tinggi ialah Singapura, Hong Kong, Denmark, Sweden, New Zealand, Finland, Belanda, Switzerland, Kanada dan Luxembourg.
Menurut Mustapa, peningkatan kedudukan berdasarkan laporan WEF itu kesan daripada pelbagai pendekatan diambil kerajaan selama dua tahun dalam usaha untuk memperbaiki daya saing ekonomi Malaysia.
“Ia juga termasuk penambahbaikan dari segi penyampaian dan kecekapan perkhidmatan awam serta peningkatan tahap ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.
Malaysia mempamerkan peningkatan amat ketara dalam kategori Persekitaran Perniagaan apabila naik 21 anak tangga ke kedudukan 30 daripada tempat ke-51 pada 2010.
Ia juga menunjukkan penambahbaikan dalam kecekapan pasaran kewangan (kelapan), peraturan impak perniagaan kukuh (ke-11), daya saing domestik (ke-13) dan pemilikan hak yang kukuh (ke-24).
Mustapa berkata, kerajaan mengalu-alukan laporan WEF itu dan akan terus melaksanakan program transformasi untuk menjadikan Malaysia sebagai satu daripada negara paling kompetitif di dunia.-24/5/2012-
Sumber AD

Post a Comment