: Pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) Malaysia mungkin pada 7 atau 8 Julai.?
Itu tarikh terbaru popular yang diramalkan setelah jangkaan pilihan raya itu diadakan pada 9 Jun 'terbang' bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, ke Britain malam Ahad lalu, lapor laman akhbar Sinar Harian semalam.
Sumber dalaman Umno dilaporkan memberitahu Sinar Harian bahawa satu perhimpunan besar-besaran anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 17 Jun.
'Selepas itu, perdana menteri dijangka akan menghadap Yang Di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen. PRU 13 mungkin pada 7 atau 8 Julai, iaitu sebelum puasa,' kata sumber itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada akhbar tersebut malam kelmarin.
Berkongsi ramalan yang sama, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr P. Sivamurugan, semasa dihubungi berkata PRU 13 mungkin diadakan awal Julai.
'Semalam (Ahad lalu) Najib terbang ke Britain, mungkin apabila kembali ke tanah air pada hujung bulan ini. Beliau akan menggunakan masa yang ada bagi mengenal pasti calon BN yang akan bertanding nanti.
'Perkara ini (pemilihan calon) tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa bagi mengelakkan timbulnya isu lain. Saya menjangkakan Julai ini tarikh PRU 13, iaitu sebelum Ramadan atau secara tepatnya, 8 Julai ini,' katanya.
Dr Sivamurugan berpendapat jika negeri yang dipimpin pembangkang Pakatan Rakyat (PR) masih mahu meneruskan pilihan raya secara berasingan, ia akan memberi kelebihan kepada Umno dan BN.
'Saya melihat ini (pilihan raya berasingan) memberi kelebihan kepada BN dari segi logistik dan jentera pilihan rayanya, tetapi PR juga dilihat belum bersedia melakukan pilihan raya berasingan kerana kosnya agak besar,' kata beliau.
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, dipetik oleh Sinar Harian sebagai berkata bahawa jika Datuk Seri Najib masih tidak membubar parlimen bulan depan, maka hampir pasti PRU 13 diadakan pada September.
Beliau, bagaimanapun, berkata Datuk Seri Najib masih mempunyai masa hingga pertengahan Jun bagi memastikan PRU 13 sempat dilangsungkan awal Julai sebelum Ramadan.
'Hari ulang tahun keputeraan Yang Di-Pertuan Agong pada 2 Jun, jadi perdana menteri masih boleh bubarkan Dewan Rakyat pada Isnin selepas itu (4 Jun),' katanya.
Semalam, bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, pula dipetik oleh akhbar The Star sebagai berkata masa terbaik bagi PRU 13 ialah selepas Hari Raya Aidilfitri.

Post a Comment