Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli


Pengarah Strategik PKR, Mohd Rafizi Ramli
 PKR yang kini berdepan dengan isu kontroversi berkaitan dengan Setiausaha Politik Menteri Besar Faekah Hussin, kini dikejutkan dengan tindakan  Mohd Rafizi Ramli yang  memutuskan untuk meletakkan jawatan secara mengejut sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
Jawatan Penasihat Ekonomi Selangor disandang oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya telah beri notis letak jawatan dari Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor. Sebarang pertanyaan mengenai ekonomi Selangor dan lain-lain, rujuk kepada Kerajaan Negeri atau (Datuk Seri) Anwar Ibrahim,” kata Rafizi menerusi mesej Twitternya lebih sejam lalu.
Pengarah Strategi PKR ini,  yang sebelum ini dilihat sebagai antara pemimpin yang meningkat naik dalam politik PKR dilantik sebagai Pengarah Strategi susulan pemilihan PKR dua tahun lepas.
Rafizi yang antara lain disebut-sebut akan diletakkan sebagai calon PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di Parlimen Pandan  juga berkata, beliau memerlukan masa rehat dan sebab itu melepaskan jawatan itu.
"Itu sahaja," katanya lagi.
Katanya, beliau biasanya tidak akan kekal dalam satu jawatan lebih daripada dua tahun.
"Saya tidak pernah kekal lebih daripada dua tahun dalam satu-satu jawatan. Yang ini saya sudah melebih dua tahun, masa untuk bergerak ke depan. Tiada dimensi politik dalam hal ini," katanya menjawab soalan-soalan pengikutnya yang terkejut dengan keputusan ini.
Walaupun beliau tidak mengaitkan dengan perkembangan politik dalam PKR dan Pakatan Rakyat,  yang jelas PKR Selangor kini kian bergolak melibatkan pertarungan peribadi diantara Khalid Ibrahim dan Azmin Ali. Dikatakan juga Rafizi kurang berpuas hati dengan ideanya yang seringkali ditolak oleh kerajaan Selangor dalam mengemukakan pelan ekonomi negeri.