
DALAM wawancara khas televisyen CBS Amerika Syarikat pada pagi 25 Oktober lalu, Jeneral (Bersara) Colin Powell sekali lagi memberi sokongan bulat kepada Presiden Barack Obama untuk penggal kedua.
Jen Powell bukan calang-calang orang. Beliau orang kulit hitam atau warga Afrika-Amerika pertama menyandang Setiausaha Negara (sewaktu penggal pertama pentadbiran George W. Bush Jr, 2000-2004), penasihat keselamatan negara dan ketua turus panglima Amerika.
Bahkan, beliau dianggap 'pembuka jalan' kepada Obama, keturunan Afrika- Amerika pertama menjadi presiden lebih empat tahun lalu.
Katanya, Obama telah menyelamatkan Amerika daripada kemelesetan ekonomi akibat huru-hara di Wall Street (pasaran saham terbesar dunia di New York) dan menyelamatkan pekerjaan terutama perusahaan kenderaan Amerika.
Hujahnya, di sebalik beban sukar daripada pentadbiran Bush, Obama telah menaikkan keyakinan bahawa ekonomi Amerika sedang pulih.
Jen Powell mengakui masalah Amerika berserabut dan tidak terkira. Namun, terdapat kemajuan sejak Obama menjadi Presiden.
Katanya, sistem jagaan kesihatan yang kini digelar 'Obamacare' telah menyelamatkan sekitar 10 peratus atau lebih 30 juta rakyat Amerika yang miskin atau tidak mampu.
Lebih utama, hujahnya, dalam ehwal dasar luar negara, Obama telah menarik Amerika daripada terlibat dalam perang berterusan di Iraq dan Afghanistan.
Sebaliknya, cara pencabarnya, Mitt Romney, dari segi ehwal luar boleh menjerumuskan ekonomi Amerika sewaktu dunia kini dalam keadaan tidak mantap.
Menurut Jen Powell, Romney tidak arif mengenai ehwal antarabangsanya dan ini dipengaruhi oleh golongan neokonservatif yang mahu membesarkan kuasa ketenteraan Amerika tanpa mengambil kira kesannya kelak.
Sokongan Jen Powell cukup bermakna. Walaupun berkhidmat dengan tokoh Republikan, beliau telah menyokong Obama pada 2008.
Beliau boleh mempengaruhi pengundi, terutama Afrika-Amerika dan Hispanik.
Pengalamannya luas dalam bidang ketenteraan sejak Perang Vietnam (1960-1975) dan arif isu sejagat. Jen Powell telah menasihati banyak presiden.
Masalah besar Obama kini ialah rakyat Amerika semakin tipis kesabarannya. Golongan sederhana di Amerika dianggap 'golongan tersepit' kerana tidak miskin dan tidak juga kaya.
Ertinya, golongan sederhana yang membentuk lebih separuh daripada 312 juta rakyat Amerika berasa tertekan oleh masalah pengangguran, hutang rumah dan sebagainya.
Selain Jen Powell, harian paling berpengaruh di Amerika, The New York Times, pada 27 Oktober menulis lidah pengarang yang menyokong Encik Obama yang gigih mendorong pertumbuhan ekonomi sejagatnya, memastikan perlindungan sosial (sosial security) dan melindungi rakyat Amerika yang sakit dan miskin.
Obama juga telah mengagumkan rakyat kerana dapat mengatasi Kongres yang dikuasai Republikan yang tidak menyetujui banyak dasarnya.
Akhbar The Washington Post juga menyatakan pada 26 Oktober bahawa Presiden Obama berada pada kedudukan lebih baik daripada Encik Romney.
Sayangnya, Encik Obama belum berjaya menyelesaikan masalah cukai atau fiskal iaitu mengenakan cukai tinggi ke atas golongan kaya dan mengurangkannya untuk golongan sederhana.
Menjelang pilihan raya presiden ke-45 Amerika, saya yakin akhbar utama Amerika akan memberikan penilaian untuk menyokong Encik Obama atau pencabarnya, Encik Romney.
Maaf, saya bukan pakar ramalan atau 'ahli nujum Pak Belalang'.
Namun, terasa bahawa Presiden Obama akan meneruskan penggal kedua sebagai Presiden Amerika meskipun dengan lebihan undi sekecil 1 peratus atau kurang.
Bagaimanapun, gerak tindak pengundi Amerika sukar dijangka.
Daripada tiga bahas calon presiden, dua pusingan dimenangi Obama.
Pun suasana pilih bulu tidak boleh dielakkan. Umumnya, majoriti kulit putih Amerika masih mahukan seorang presiden kulit putih. Cuma Romney ialah penganut Mormon iaitu cabang agama Kristian yang kecil dan terpisah di Amerika (lebih tertumpu di negeri Utah).
Ramai yang waswas dengan hujah Romney mengenai kearifannya dalam dasar luar.
Malah, beliau dinilai 'takbur' kerana ulasannya yang tidak peka terhadap orang Palestin dan memperlekeh penganjur Sukan Olimpik London.
Sikapnya yang menyelar China dan Russia juga membingungkan. Malah, beliau tidak faham keadaan di Timur Tengah, terutama krisis kemanusiaan di Syria. Isu serangan pengganas ke atas kedutaan Amerika di Benghazi memaparkan kecetekan ilmunya.
Saya harap pengundi Amerika berfikir dua kali sebelum mengundi Romney sebagai presiden baru Amerika.
Di Hawaii, tempat kelahiran Obama sokongan kepadanya masih pejal dan mantap.
Namun, di negeri-negeri yang pengaruh kulit putih amat menonjol terutama di bahagian tengah Amerika (Midwest), Encik Romney lebih dipuja.
Sebuah Amerika yang makmur dan baik kepada dunia memang dambaan jagat. Banyak janji Obama berbaik dengan Dunia Muslim masih belum tercapai. Jika dipilih untuk kali kedua, adakah beliau akan mengotakan ikrar?
Diharapkan warga Amerika membuat keputusan yang betul sekali lagi seperti yang mereka lakukan pada 2008.
Diolah kembali dari artikel tulisan M Effendy A Hamid.
Post a Comment