Home » » PRU 13- Pengundi Muda dan parti pilihan

PRU 13- Pengundi Muda dan parti pilihan

Oleh DARWIS SAID

MEREKA tinggal di kawasan bandar, berpendidikan tinggi dan berjawatan profesional serta ada kalanya bersikap kritikal terhadap dasar-dasar kerajaan. Namun, mereka masih dianggap segmen yang penting dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Malaysia yang bakal diadakan sebelum Jun ini. Sehingga kini, mereka dipercayai masih belum menentukan parti politik mana yang bakal diundinya, tetapi segmen yang terdiri daripada para pengundi berusia 40 tahun ke bawah itu difahamkan membentuk sebahagian besar daripada lebih tiga juta pengundi baru yang berdaftar. 

Yang jelas, mereka telah digelar sebagai pengundi yang masih "duduk di atas pagar" dan sokongan mereka akan menentukan 'kalah- menangnya' parti-parti yang bertanding dalam PRU13 ini. Sekurang-kurangnya itu yang dibayangkan oleh beberapa ahli politik dan pemerhati politik di Kuala Lumpur, baru-baru ini. 


 "Kita tidak boleh mengetepikan kumpulan pengundi ini dan mereka begitu penting," kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, yang membantu mengendalikan jentera pilihan raya parti memerintah itu di negeri yang dianggap paling panas dalam pilihan raya kali ini. 

Akur dengan pandangan itu, Ketua Pemuda Umno, Encik Khairy Jamaluddin, berkata sebahagian besar daripada segmen pengundi berkenaan masih belum membuat keputusan perihal pihak mana yang harus mereka undi. "Mungkin sehingga 40 peratus pengundi yang masih belum membuat keputusan berhubung siapa yang mahu diundinya dan perangkaan itu mungkin lebih tinggi bagi para pengundi lebih muda, mungkin 50 peratus," kata Encik Khairy, semasa diwawancara akhbar The Star, baru-baru ini. "Saya fikir mereka masih menangguhkan keputusan undian mereka sementara menunggu senarai calon diumumkan," ujarnya sambil menambah bahawa para pengundi berkenaan mungkin juga mahu membandingkan manifesto dan tema kempen kedua-dua pihak - BN dan Pakatan Rakyat (PR) - terdahulu sebelum memutuskan pihak yang mahu disokong mereka dalam PRU13. 

Dari sudut pembangunan, ekonomi Malaysia memang sejak beberapa dekad lalu adalah antara yang terbaik di rantau ini. Ditinjau daripada sudut itu, sudah pasti agak mudah bagi BN meyakinkan para pengundi berkenaan menyokong perikatan parti itu dengan menjanjikan pertumbuhan ekonomi, kerjaya dan mutu kehidupan masa depan yang lebih cerah seperti dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ini, apatah lagi di tengah-tengah suasana ekonomi sejagat yang tidak menentu dan ada kalanya suram ini, serta apabila dihadapkan dengan rekod pencapaian kerajaan BN dan beberapa langkah transformasi pemimpinnya itu. 

 Namun, sebahagian besar daripada sejumlah 3.75 juta pengundi baru berdaftar itu juga mengharapkan lebih daripada beberapa usaha mentransformasi ekonomi dan pemindaan undang-undang populis seperti yang dilakukan oleh parti yang memerintah sejak empat tahun lalu. Para pengundi yang dianggap lebih berpelajaran serta bersikap terbuka dan kritikal itu juga mahukan jawapan berhubung dengan isu-isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, ketelusan urus tadbir dan sekitaran politik lebih terbuka dan inklusif. Timbulnya kontroversi yang dikaitkan dengan isu-isu tersebut, khususnya ketika tarikh pilihan raya semakin hampir, juga boleh melunturkan sokongan pengundi "di atas pagar" itu terhadap parti dan pentadbiran yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib. Contohnya, isu kerakyatan dan hak pengundian di kalangan pendatang di Sabah semasa era pemerintahan bekas perdana menteri keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan pendedahan video kegiatan rasuah secara terbuka oleh keluarga Menteri Besar Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini boleh menimbulkan banyak persoalan di kalangan pengundi berkenaan. 

Cara kerajaan menangani demonstrasi Gabungan bagi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 3.0 pada April tahun lalu pula masih menimbulkan banyak persoalan dalam benak di kalangan pengundi lebih muda dalam segmen pengundi baru itu. Para pengundi itu juga sudah tidak banyak dipengaruhi oleh pendedahan salah laku seks seperti yang lazimnya dilakukan ke atas beberapa tokoh politik tertentu. "Mereka yang duduk di atas pagar ini lebih melihat ke arah paras kematangan parti-parti yang bertanding dan jumlah mereka yang berpandangan sedemikian semakin bertambah. "Dan, mereka - kira-kira 35 hingga 40 peratus daripada pengundi baru itu - boleh menentukan siapa yang bakal menang atau kalah nanti," kata timbalan dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr P Sivamurugan, semasa dihubungi akhbar ini, baru-baru ini. 

Yang pasti, para pengundi baru, khususnya mereka yang lebih muda dan terpelajar, mahukan hujah yang lebih bernas dan munasabah diketengahkan oleh tokoh-tokoh politik yang bertanding dalam usaha mereka menundukkan lawannya. Kematangan seperti itu yang dijangka dapat menambat hati atau mempengaruhi pemikiran segmen pengundi "di atas pagar" itu. Sokongan mereka penting, manakala sikap dan permintaan mereka tidak patut diabaikan
Share this article :

Post a Comment