Home » » Gelora di Bumi Mesir

Gelora di Bumi Mesir

SETAHUN sesudah 'orang kuat tentera' Hosni Mubarak disingkirkan, Mesir masih bergejolak. Padahal, pilihan raya umum telah menyaksikan penampilan parti-parti Islam yang menguasai parlimennya. Namun rakyat masih memprotes di Medan Tahrir kerana marah dan curiga terhadap Majlis Tertinggi Tentera Mesir yang memerintah walaupun undang-undang darurat ditarik balik. Suasana di negara lebih sejuta kilometer persegi dengan penduduk 83 juta jiwa iaitu yang terbesar di Dunia Arab masih penuh tanda tanya. Tiada pengamat berwenang berani meramalkan laluan lanjut Mesir.

Parti Kemerdekaan dan Keadilan (FJP) yang akrab dengan Ikhwanul Muslimin kini merupakan suara terbesar iaitu 43 peratus daripada 518 kerusi di Dewan Rakyatnya. Namun, timbul persoalan apakah ia dapat seiring dengan sebuah lagi pertubuhan Islam Salafi, Parti Nour, dengan 21 peratus kerusi. Walaupun kaum Sunni membentuk lebih 90 peratus penduduk Mesir, terdapat kaum Kristian Koptik sekitar 9 peratus yang mutakhir ini amat tertekan. Kemungkinan FJP bergeser dengan Parti Nour tidak boleh diketepikan kerana kededuanya agak berbeza aliran. Jika ini berlaku dan sukar diatasi, kemungkinan besar Mesir boleh kembali jatuh ke tangan tentera yang menggunakan alasan untuk memastikan kemantapan.
Dalam pada itu perbicaraan ke atas bekas orang kuat tentera, Hosni Mubarak, dan keluarganya, masih belum selesai. Padahal, ini merupakan duri dalam daging pada rakyat Mesir yang sekian lama diperintah secara kuku besi. Anehnya, Mesir dan seperti banyak lagi negara Arab disokong oleh Barat yang sering mendabik dada sebagai juara demokrasi. Kini dengan rakyat Dunia Arab, termasuk Mesir, mengenyahkan diktator mereka, Barat kebingungan antara hendak menyokong demokrasi sebenar. Sebabnya mudah: rakyat Mesir terasa dikhianati Barat. Ertinya kepentingan Barat, termasuk Israel, kini di ambang pergolakan besar.
Jika Mesir dapat diamankan dan melalui proses demokrasi yang telus lagi cekap, kesannya akan menjadi ikutan membina di Dunia Arab kerana pengaruhnya yang besar dari segi pemikiran dan budaya. Bahkan kinilah masanya bagi parti-parti Islam yang dicurigai Barat membuktikan keikhlasan untuk memimpin dengan amanah, bersih dan cekap.

Share this article :

Post a Comment