Peluang Pakatan Rakyat (PR) kehilangan kuasa mentadbir Selangor dan Kedah kepada Barisan Nasional (BN) adalah 50-50, menurut seorang pengamat politik setempat, semalam.
Prof Chin juga meramalkan bahawa Pulau Pinang dan Kelantan akan kekal di bawah pentadbiran PR, manakala Malaysia Timur dijangka kekal sebagai 'deposit tetap' bagi BN walaupun pihak pembangkang boleh merebut tujuh hingga 11 kerusi di Sarawak dan enam hingga lapan kerusi di Sabah.
Perangkaan itu bagaimanapun terlalu sukar disimpulkan untuk dijadikan ramalan bagi keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 Malaysia, kata beliau, yang menyampaikan ceramahnya di Sidang Ramalan Strategik Malaysia 2012, di sini, seperti dilaporkan oleh laman berita The Mallaysian Insider, semalam.
Prof Chin berkata tinjauan-tinjauan menunjukkan bahawa kos sara hidup akan menjadi isu utama pilihan raya itu berbanding dengan isu perkauman atau agama.
'Itu mungkin sebabnya mengapa kerajaan memberikan RM500 kepada setiap unit keluarga yang berpendapatan ke bawah RM3,000,' kata beliau.
'Anwar (Datuk Anwar Ibrahim) bukan satu faktor. Orang ramai agak mual dengan cerita-cerita mengenai liwat,' tambahnya.
Pensyarah Universiti Monash itu berkata tinjauan menunjukkan bahawa jenama yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, agak kukuh, meskipun tidak jelas sama ada ia berupaya menarik undian bagi BN.
Peluang BN kehilangan kuasanya di Perak dan Negeri Sembilan kepada PR juga adalah 50-50, kata Profesor James Chin, ketua Sekolah Sains Sosial di Universiti Monash Sunway, di Malaysia.

Post a Comment