Oleh Maarof Salleh
SEPANJANG empat bulan - mulai Rabiulawal kini sehingga Jamadilakhir - ummah di sini dan di banyak bahagian dunia akan sibuk dengan pelbagai acara Maulidur Rasul.
Baginda mendekati umat, tidak menjauhinya. Baginda memuliakan orang yang terhormat dalam kaumnya dan menyerahi kepimpinan kepadanya untuk memimpin kaumnya.
Baginda mengingatkan umat (tentang hal-hal yang berbahaya) serta melindungi mereka.
Baginda berunding dengan sahabat mengenai keadaan umat, dan berasa kehilangan apabila sahabatnya tiada.
Baginda menempuh jalan tengah dalam setiap urusan tanpa mengundang perselisihan.
SEPANJANG empat bulan - mulai Rabiulawal kini sehingga Jamadilakhir - ummah di sini dan di banyak bahagian dunia akan sibuk dengan pelbagai acara Maulidur Rasul.
Masyarakat mengharapkan sambutan tersebut akan menyegarkan kecintaan mereka kepada Nabi Muhammad saw dan tambah bersemangat mengembangkan ajarannya.
Akhlak mulia baginda itu juga menjadi faktor utama risalah Islam yang didakwahkannya menarik sambutan umum. Islam merubah kehidupan jagat dan menyumbang kepada tamadun dunia.
Bagaimanakah agaknya perasaan dan reaksi Nabi Muhammad saw andainya baginda masih hidup dan sempat bertemu dengan masyarakat Muslim masa kini untuk meninjau sikap dan kehidupan mereka?
Bagaimanakah pula perasaan dan reaksi kita sendiri yang saban tahun ghairah menyambut hari kelahirannya?
Ketika merenung kemungkinan- kemungkinan tadi, saya melihat adanya persamaan hal itu dengan pemikiran yang menjadi saripati sebuah siri bahasa Arab yang kian popular di Malaysia kini, Laukaanaa Bainana, disiarkan Al-Hijrah, sebuah stesen televisyen terbaru di negara jiran itu.
Menggunakan ciri akhlak Rasulullah itu, program tersebut cuba menyorot reaksi orang awam apabila didatangi orang susah seperti pengemis atau orang yang memohon bantuan.
Pelbagai reaksi spontan Muslim dirakamkan. Di sebalik ramai yang masih menyantuni golongan miskin, ada juga beberapa individu yang ketara menunjukkan reaksi kurang selesa apabila didatangi orang susah atau orang yang memerlukan pertolongan.
Melahirkan kecintaan pada Nabi Muhammad sering terpapar pada majlis syarahan, marhaban dan berselawat.
Bagaimana pula mengamalkan akhlak baginda dalam kehidupan harian?
Penakatan insan sering dinilai pada menghadapi persaingan sengit demi meraih ganjaran duniawi.
Hal ini sering membuat orang menjadi lebih mengutamakan kepentingan diri daripada kebajikan bersama.
Lalu berlakulah apa yang disebut 'penakatan yang tergagah' (survival of the fittest) membawa kepada amalan saling cela-mencela demi penakatan sendiri.
Walhal bukan demikian akhlak Rasulullah.
'Baginda tiada berlaku kasar dan tidak pernah menghina,' kata Hind bin Abi Halah, ahli sirah Nabi Muhammad.
Kata Abi Halah lagi:
'Tidaklah dunia menjadikannya marah dan tidak pula baginda marah kerana dunia.
'Apabila kebenaran dilanggar orang, maka tidak akan ada sesuatu yang akan mampu menahan amarahnya sampai beliau dapat memenangkan kebenaran itu.
'Baginda tidak akan marah kalau hanya kerana dirinya dan tidak pula baginda akan membela diri baginda sendiri.'
Sebagai individu, baginda tawaduk (rendah hati), mesra dengan kenalan dan tidak pernah menghina orang lain.
Kehidupan dunia dijalani seadanya sambil terus mengagungkan Allah swt. Perjuangan utama baginda ialah menegakkan kebenaran.
Andainya Nabi Muhammad berkesempatan kembali meninjau kehidupan masa kini, apakah baginda dapat melihat akhlak mulia seperti itu masih bertunjang dalam kehidupan masyarakat Muslim kini?
Jika baginda gagal melihatnya, sebaliknya menyaksikan umat Islam masih dibelenggu pelbagai krisis akhlak sehingga ciri-ciri akhlak yang baginda wariskan tenggelam tanpa dapat menyerlah, baginda pasti kecewa!
Dalam situasi demikian, bagaimanakah kita boleh berbangga dengan hanya mengisytiharkan diri sebagai pengikut setia yang cintakan baginda?
Seharusnya kita berasa malu jika itulah keadaannya.
Kita malu kerana gagal bersikap dan bertindak dengan akhlak terpuji insan agung itu, apalagi menyebarkannya kepada dunia.
Seluruh aspek kehidupan baginda telah dirakamkan begitu terperinci oleh para penulis, Muslim dan bukan Muslim, menerusi ratusan penerbitan dalam pelbagai bahasa.
Daripada kehidupan peribadi dan kekeluargaannya sehinggalah dalam kehidupan baginda sebagai pemimpin umat, semuanya telah didokumentasikan.
Daripadanyalah dunia diberitahu betapa baginda mengamalkan kehidupan sederhana baik sendirian mahupun bersama keluarganya.
Menurut Aisyah ra:
'Keluarga Nabi tidak pernah makan roti sya'ir (roti daripada tepung yang bermutu rendah) sampai kenyang dua hari berturut-turut.'
Dalam perhubungannya dengan kenalan, Hind bin Abi Halah berkata:
'Baginda selalu berfikir, hampir tidak sempat beristirahat santai. Baginda lebih banyak diam, tidak bercakap kecuali perlu; membuka dan menutup percakapannya dengan menyebut nama Allah.'
Tutur katanya membolehkan orang cepat faham dan ingat.
Kata Aisyah, baginda bercakap 'dengan kata-kata yang jelas dan tegas'.
Menurut penolong baginda, Anas bin Malik pula:
'Rasulullah suka mengulangi kata-kata yang diucapkannya sebanyak tiga kali agar dapat difahami.'
Ertinya baginda mengelakkan diri daripada bercakap yang boleh menimbulkan spekulasi.
Bagaimanakah pula percakapan kita? Lebih banyak berspekulasi dan mengelirukan?
Baginda juga bergurau. Hanyasanya dalam gurauannya, setiap apa yang baginda katakan, menurut Abu Hurairah, 'tidak lain hanyalah kebenaran'.
Ketika diminta seorang perempuan tua agar Nabi mendoakannya dapat masuk syurga, baginda mengatakan syurga tidak bakal dimasuki perempuan tua.
Apabila perempuan tua itu menangis, baginda memberitahu maksud sebenarnya ialah perempuan tua itu akan masuk syurga dalam keadaan muda!
Jawapan gurauannya itu sesuai dengan maksud ayat 36 dan 37 Surah Al-Waqiah.
Bagaimana pula gurauan kita? Mungkin kita membuat orang tertawa atas kelemahan orang lain.
Baginda prihatin akan keadaan sosial bak diriwayatkan Anas bin Malik: 'selalu menjenguk orang sakit, melawat jenazah, mengenderai keldai dan memenuhi undangan walau daripada seorang hamba sahaya'.
Baginda merupakan majikan yang amat memelihara kebajikan pekerjanya.
Ini diakui Anas bin Malik:
'Aku menjadi pembantu Rasulullah selama 10 tahun. Selama itu baginda tidak pernah mengatakan 'uf'. Dan tidak pernah pula baginda berkata kepadaku (membuat komen) kerana sesuatu yang kukerjakan.'
Baginda juga bukan pembalas dendam ke atas musuh yang menyakitinya seperti diriwayatkan Aisyah:
'Aku tidak pernah melihat Rasulullah membalas sesuatu aniaya yang ditimpakan orang ke atasnya selama orang itu tidak menghina kehormatan Allah.'
Di bidang kepimpinan, keunggulan akhlak Nabi Muhammad terus menyerlah. Ini termasuk antara yang disenaraikan Sayidina Ali ra:
Baginda meninggalkan orang lain daripada tiga perkara: tidak mencela orang, tidak membikin malu orang dan tidak mencari aib orang.
Mari tanyakan: benarkah kita cintakan baginda dengan menghayati akhlaknya?
Andainya Rasulullah menemui umatnya sekarang, mungkinkah baginda bahagia kerana menyaksikan mereka gigih meneladani akhlaknya?
Atau, mungkin juga baginda akan kecewa!

Post a Comment