Home » » Pakatan Rakyat akan kehilangan Selangor - PRU 13?

Pakatan Rakyat akan kehilangan Selangor - PRU 13?

Barisan Nasional (BN) yakin dapat menguasai semula Selangor dengan satu kemenangan majoriti tipis 31 kerusi daripada 56 kerusi yang ditawarkan di negeri itu, dalam pilihan raya umum akan datang, demikian menurut satu laporan sebuah laman berita di Malaysia.
 
Oleh kerana itu, jumlah kemenangan majoritinya akan menjadi tiga kerusi sahaja, tambah laporan itu.

'BN yakin dapat menguasai semula Selangor dengan majoriti mudah, walaupun kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat sedang menghadapi masalah-masalah seperti janji-janji yang tidak dikota dan perbalahan dalaman.
'Parti campuran yang memerintah dijangka menang tipis meskipun adanya usaha peribadi oleh pengerusi BN dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam percubaan untuk menarik pengundi.
'Ini adalah satu margin kemenangan tipis terutamanya disebabkan isu berpuak-puak dan perbalahan dalam Umno, MCA dan Gerakan,' kata sumber itu.

'Jika Umno dapat bersatu dan MIC boleh memastikan mendapat lebih 70 peratus pengundi India, (maka) BN boleh mendapat majoriti lebih tinggi,' tambahnya.
Satu lagi sumber berkata muka baru akan membentuk 60 peratus daripada calon-calon Umno dan MIC, dengan 35 daripadanya adalah daripada Umno dan enam lagi daripada MIC.

BN buat masa ini menguasai 21 kerusi negeri di Selangor - terdiri daripada 18 kerusi yang dikuasai Umno, satu yang direbut Persatuan Cina Malaysia (MCA) dan satu lagi yang dikuasai bekas ahli PKR yang berpaling tadah.


Bagi pilihan raya umum akan datang, Umno akan memperkenalkan calon-calon untuk 35 kerusi di Selangor, manakala Kongres India Malaysia (MIC) dijangka menyediakan calonnya untuk enam kerusi dan bakinya diberikan kepada MCA dan Gerakan, sebuah lagi parti komponen yang menumpukan perjuangannya kepada kaum Cina.


BN bagaimanapun difahamkan tidak menaruh harapan yang besar pada MCA dan Gerakan untuk mennambat hati dan pemikiran pengundi Cina.

Laporan FMT itu juga memetik sumber-sumber sebagai berkata bahawa daripada 41 kerusi yang bakal ditandingi Umno dan MIC, sebanyak 31 kerusi dianggap 'boleh dimenangi', manakala bakinya mempunyai peluang sama rata.
Penilaian itu didasarkan atas sentimen masa kini di kalangan pengundi Melayu, yang berkata mereka sudah mual dengan banyak janji yang masih belum dikotakan oleh Pakatan Rakyat (PR), merosotnya kewibawaan ketua de facto Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ketidakmampuan Parti Islam SeMalaysia (PAS) mengawal rakan politiknya - Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PKR - berhubung isu-isu Islam, kata satu laporan Free Malaysia Today (FMT), semalam.
-cyberita.
Share this article :

Post a Comment