Kerajaan Malaysia semalam menghantar pulang wartawan muda warga Arab Saudi, Hamza Kashgari, yang dikehendaki di negaranya kerana komen menghina Nabi Muhammad saw di Twitter.
Menurut seorang pegawai kerajaan Malaysia, Kashgari yang ditahan di Malaysia sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis lalu, meninggalkan negara itu di bawah tahanan pegawai Arab Saudi.
Kashgari melarikan diri ke Malaysia setelah membuat komen di laman rangkaian sosial, Twitter, yang didapati menghina Nabi Muhammad saw.
Komen Kashgari telah menimbulkan kemarahan dan ada yang menggesa agar Kashgari dibunuh.
Menghina nabi dianggap kufur dalam Islam dan dianggap jenayah yang boleh dijatuhi hukuman mati di Arab Saudi.
Kerajaan Malaysia tidak segera mengesahkan penghantaran pulang Kashgari.
Namun, kenyataan Kementerian Dalam Negeri, yang dikeluarkan semalam, menyatakan Kashgari akan dihantar pulang ke Arab Saudi.
'Malaysia mempunyai perjanjian sejak dulu iaitu individu yang dikehendaki oleh sesebuah negara akan dihantar pulang oleh negara yang menahannya, dan (Kashgari) akan dihantar pulang di bawah perjanjian ini,' kata Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataannya.
Dalam kenyataan itu lagi, Kementerian Dalam Negeri menyatakan bahawa jenis tuduhan yang dikenakan terhadap individu dalam kes berkenaan terpulang kepada pihak berkuasa Arab Saudi untuk tentukan.
Penghantaran pulang Kashgari sudah pasti akan menimbulkan kemarahan kumpulan hak asasi manusia seperti Human Rights Watch, yang telah menggesa Malaysia supaya tidak menghantar pulang Kashgari.
Kashgari dipercayai menghadapi perbicaraan berat sebelah dan mungkin dijatuhi hukuman mati di negaranya.
Malaysia dan Arab Saudi tidak mempunyai perjanjian ekstradisi rasmi tetapi mempunyai jalinan erat sebagai negara Islam. -- AFP.
Post a Comment