SEMASA Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dalam Belanjawan 2012, ia dilihat sebagai pelengkap kepada program transformasi menyeluruh negara yang diperkenalkan Perdana Menteri di bawah Dasar Transformasi Nasional.
Matlamat RTP ialah menjadikan luar bandar tumpuan baharu pelbagai kegiatan.
Kawasan luar bandar akan mengalami proses perubahan yang mampu menarik pelaburan, menyediakan peluang pekerjaan dan mempergiat pelbagai aktiviti ekonomi untuk disertai masyarakat, terutama generasi muda.
Kawasan luar bandar dibayangkan akan mengalami perubahan fizikal. Pembaikan landskap ini diharapkan akan meningkatkan taraf sosio ekonomi masyarakat luar bandar, yang majoritinya penduduk Melayu.
Matlamat segala perancangan di bawah RTP ialah supaya luar bandar tidak lagi ketinggalan, jurang kemajuan, kemudahan dan kemakmuran antara bandar dan luar bandar akan dikecilkan, agar kehidupan rakyat lebih seimbang dalam semua aspek.
RTP merupakan program bersepadu di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 atau National Blue Ocean Strategy 4 (NBOS4) yang memperkenal lapan inisiatif di bawah tanggungjawab beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk dilaksanakan bagi membangunkan kawasan luar bandar.
Lapan inisiatif itu ialah — latihan kemahiran kepada penduduk luar bandar, penubuhan kios informasi 1Malaysia, pertanian bernilai tinggi, pemprosesan produk agro makanan, pengurusan rantaian bekalan hasil pertanian, kerjasama universiti, perkhidmatan keselamatan makanan dan farmaseutikal serta kemudahan pembiayaan kewangan kepada penduduk luar bandar.
Hari ini, RTC pertama akan dirasmikan Perdana Menteri di Gopeng, Perak. Pusat ini beroperasi sejak Jun 2011, menggunakan bangunan sedia ada, iaitu Terminal Agribisnes Negara (Teman).
RTC Gopeng akan memberi faedah kepada ribuan penduduk luar bandar dalam lingkungan 100km dari Gopeng kerana mereka tidak perlu lagi ke bandar-bandar utama untuk berurusan dengan pelbagai agensi kerajaan atau untuk mencari peluang pekerjaan, menimba ilmu keusahawanan, mempercekap kemahiran dan meningkatkan pendapatan.
RTC yang menggunakan slogan "Satu Hentian Pelbagai Perkhidmatan" menyediakan kemudahan di bawah satu bumbung untuk penduduk luar bandar. Ia menjadi pusat integrasi perkhidmatan meliputi sektor penting seperti perbankan dan insurans, khidmat nasihat perniagaan, pusat pengumpulan dan pemprosesan, latihan dan kemahiran, klinik dan ruang niaga.
RTC juga adalah untuk kegunaan keluarga kerana pelbagai khidmat dan kemudahan untuk keluarga luar bandar disediakan di situ. RTC Gopeng disasarkan menjadi perintis kepada RTC lain di seluruh negara — RTC Kota Baharu (Kelantan) yang sudah mula beroperasi, RTC Kuala Kedah (Kedah), Kuala Linggi (Melaka), Tanjung Manis (Sarawak) dan Pekan Nanas (Johor) yang bakal dibuka kemudian.
Setiap RTC tidak menawarkan khidmat yang sama. Ia bergantung kepada lokasi dan kesesuaiannya.
DI RTC Gopeng dan kawasan berhampiran, 15 program latihan telah dilaksanakan pada tahun 2011 dan beberapa lagi awal tahun ini untuk penduduk sekitar, termasuk latihan dan motivasi keusahawanan, persembahan produk seperti pembungkusan dan penjenamaan, teknik fertigasi dan pengurusan makanan ternakan, kemahiran membaikpulih pendingin hawa dan kemahiran teknologi kimpalan.
RTC Gopeng menyediakan semua kemudahan ini di kawasan seluas lapan hektar dengan bangunan utama menempatkan pasar raya agro, pasar raya Mydin, agro bazar dan ruang pejabat, pasar basah, blok pentadbiran, medan selera, pasar sayuran dan buah-buahan, pusat ikan hiasan dan blok pemprosesan bahan berasaskan agro.
FAMA sebagai agensi penggerak utama sektor pertanian di bawah RTC, mahu memperkenalkan inisiatif pertanian bernilai tinggi di kawasan RTC dan sekitarnya seperti yang dilaksanakan di Lojing, Kelantan yang popular dengan tanaman sayur-sayurannya.
Ia bertujuan memastikan hasil industri pertanian mencukupi untuk kegunaan penduduk sekitar, meningkatkan pendapatan golongan yang terlibat terutama pengusaha pertanian luar bandar, meningkatkan pengeluaran pertanian dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.
FAMA juga memberi fokus kepada projek pengeluaran produk tenusu dan projek ternakan Arowana yang semakin mendapat perhatian pasaran tempatan dan antarabangsa.
Di bawah inisiatif pemprosesan produk agro makanan, pengusaha produk industri asas tani dibantu oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; dalam pembangunan produk mereka melalui penjenamaan, pelabelan, pembungkusan dan persijilan.
Di RTC Gopeng, ia melibatkan kuih tradisional negeri Perak seperti putu Perak, minyak kelapa dara, jeruk buah-buahan, telur asin, jus kordial, kerepek ubi dan pisang, makanan sejuk beku dan herba.
Para peserta MyAgrosis (program menggalakkan golongan belia dan siswazah universiti menceburi bidang pertanian) akan menjalankan latihan praktikal di projek pertanian RTC bagi menimba ilmu sebagai petani.
Penduduk luar bandar di sekitar Gopeng boleh mendapatkan pelbagai maklumat di kios-kios informasi 1Malaysia yang telah dibuka di RTC Gopeng iaitu: - Kios KKLW yang menyediakan maklumat mengenai desa dan kemudahan yang ditawarkan agensi di bawah kementerian itu; - Kios Jobs Malaysia yang menawarkan perkhidmatan kepada pencari kerja dan majikan; - Kios pusat pembangunan perniagaan dan agro makanan yang memberi maklumat mengenai pembangunan komuniti perniagaan agro makanan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani;.
- Kios Portal 1Malaysia dan Pengguna Bijak yang diuruskan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; dan - Kios MyEG yang menyediakan pelbagai maklumat dan perkhidmatan agensi awam.
Biro itu mengadakan dialog dengan para pengusaha ini, dan mengenal pasti masalah utama mereka ialah, tidak mampu untuk mendirikan kilang yang bertaraf GMP (Amalan Pengilangan Baik).
Biro itu membantu mereka mendapatkan syarikat pengilang kontrak yang sesuai untuk memastikan syarat pendaftaran produk dapat dipenuhi dan kemudian melayakkan mereka membuat permohonan pendaftaran produk.
Bagi mereka yang berminat mendirikan kilang pula, mereka diberi khidmat nasihat tentang pelan aliran kilang GMP, tatacara pendaftaran ubat dan sebagainya.
Matlamat bantuan ini ialah bagi menolong usahawan menghasilkan produk berdaftar, berkualiti dan selamat digunakan orang ramai, dan pada masa yang sama mereka boleh memasarkan produk tanpa sekatan lagi.
Ia mengambi inisiatif menyediakan kemudahan pembiayaan mikro kredit kepada peminjam di kawasan sekitar RTC. Skim pembiayaan itu menawarkan kadar faedah yang rendah bertujuan membantu para usahawan menjalankan aktiviti perniagaan mereka dengan jayanya.
Antara kemudahan pembiayaan yang disediakan di RTC ialah skim pembiayaan ekonomi desa (SPED) oleh KKLW, Bank Simpanan Nasional (pembiayaan mikro), Agro Bank (pembiayaan mikro pertanian), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (pembiayaan kepada usahawan secara pakej dalam bidang peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana), TEKUN Nasional (pembiayaan mikro dan perkhidmatan sokongan pembangunan keusahawanan), SME Bank (pembiayaan PKS), Skim Jaminan Usahawan MARA (MARA menjadi penjamin usahawan Bumiputera untuk pembiayaan bank komersial), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (skim pinjaman Ar-Rahnu bersandarkan emas sebagai cagaran) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (kemudahan mikro kredit dan bimbingan latihan kepada isi rumah miskin).
Akhir sekali, sebagai pelengkap bantuan untuk penduduk luar Bandar, RTC membawa masuk kerjasama universiti dengan Kementerian Pengajian Tinggi dipertanggugjawabkan menerajui inisiatif mengadakan kerjasama dengan universiti dalam program sukarelawan pelajar dan program pemindahan ilmu.
Program dengan universiti ini, yang melantik duta luar bandar dan sebagainya, bertujuan mewujudkan kesedaran pelajar luar bandar untuk menjadi masyarakat berilmu bagi mencapai objektif mempertingkat taraf sosio ekonomi mereka.
Dengan pelbagai kemudahan yang tersedia di RTC, maka ayuh penduduk luar bandar, gunakan sepenuhnya apa yang tersedia, yang dahulunya cuma ada di bandar, tetapi kini dibawa dekat kepada anda.
RTC menterjemah harapan kerajaan agar masyarakat luar bandar lebih berdaya maju dan berdaya saing serta berupaya meningkatkan kualiti dan kuantiti produk keluaran mereka.
Dengan bantuan kemudahan, termasuk latihan, bimbingan dan pemasaran, akan membolehkan produk penduduk luar bandar dipasarkan di seluruh negara dan akhirnya menembusi pasaran antarabangsa.
Secara tidak langsung pendapatan penduduk luar bandar akan ditingkatkan dan kemiskinan tegar dihapuskan dan kadar kemiskinan keseluruhannya dikurangkan.
Memetik kata-kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, program transformasi luar bandar ini dipacu menerusi sistem penyampaian bersepadu oleh seluruh agensi kerajaan yang berkaitan, bertujuan untuk mengubah landskap sosio-ekonomi luar bandar sekali gus membantu Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi. - BNM

Post a Comment