PADA penulisan kali ini, penulis akan memberikan fokus dan penumpuan kepada salah satu proses demokrasi di Malaysia yang akan berlaku bila-bila masa sahaja dari sekarang iaitu berlakunya dengan izin Allah swt pembubaran Parlimen bagi membolehkan diadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU). Persoalan yang penulis ingin sampaikan di sini adalah sama ada Pas bersedia untuk menghadapi PRU13? Penulis masih berpendapat sebagaimana artikel pertama penulis sebelum ini iaitu Pas belum bersedia berhadapan dengan PRU13. Sekiranya sidang pembaca telah membaca warkah penulis sebelum ini di mana penulis telah melontarkan beberapa pandangan kritikal dalam penulisan tersebut tentang persediaan dan perkara yang perlu dirungkai oleh Pas sebelum menghadapi PRu13. Bagi yang belum membacanya, penulisan tersebut bertajuk “Warkah terbuka untuk pemimpin PAS dan PKR”.
Dalam penulisan tersebut juga, penulis telah menghuraikan berkenaan jangkaan PRU13 yang kemungkinan diadakan selepas pembentangan Bajet Negara 2012 dan jangka masanya iaitu tidak terlalu lama daripada pembentangan bajet tersebut untuk mengekalkan momentum bajet tersebut. Penulis juga telah menekankan bahawa Perdana Menteri akan memberikan hadiah istimewa kepada lebih daripada 1.3 juta kakitangan kerajaan dan pelbagai inisiatif lain dalam usaha berhadapan dengan PRU13. Penulis juga percaya dengan kenaikan gaji kakitangan kerajaan melalui sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang berkuat kuasa bulan lalu dan ditambah pula dengan penambahbaikan yang akan dibuat dalam SBPA ini, yang antara lain melibatkan kenaikan gaji kakitangan awam, ia bakal menjadi titik permulaan dan suntikan kepada suatu proses yang akan berlaku seterusnya iaitu insya-Allah pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU13. Penulis begitu optimis bahawa PRU13 berkemungkinan dan dengan izin Allah swt berpotensi diadakan antara bulan Mac dan Jun 2012. Pada pengamatan penulis tempoh empat bulan ini begitu kritikal buat mana-mana parti politik di Malaysia dalam usaha dan persediaan untuk berhadapan dengan gelombang dan kuasa rakyat. Dalam konteks Malaysia, setakat ini Perdana Menteri diberi ruang sepenuhnya untuk memilih tarikh pembubaran Parlimen. Walau bagaimanapun, parti politik perlu bersedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan pembubaran Parlimen dan penulis meramalkan berdasarkan trend terkini, PRU13 berpotensi untuk diadakan pada Jun ini.
Walau bagaimanapun, ingin ditekankan di sini bahawa penulis dan ramai rakyat Malaysia khususnya masyarakat Melayu dan Islam masih menanti jawapan yang jelas daripada pimpinan Pakatan Rakyat khususnya pimpinan Pas terhadap enam persoalan yang penulis ajukan dalam penulisan penulis pada 26 Jun lalu. Ia masih belum dijawab secara jelas dan nyata oleh pimpinan Pas. Penulis kemukakan kembali persoalan tersebut seperti dibawah:
a) Siapakah Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat ambil alih Putrajaya?
b) Siapakah Timbalan Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat ambil alih Putrajaya?
c) Apakah komposisi Kabinet mengikut etnik atau agama sekiranya Pakatan Rakyat ambil alih Putrajaya?
d) Siapakah Menteri Besar atau Ketua Menteri untuk setiap negeri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya ambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri tersebut?
e) Apakah komposisi Exco Kerajaan Negeri sekiranya Pakatan Rakyat ambil alih Kerajaan Negeri?
f) Apakah pandangan Pakatan Rakyat berhubung isu Biasiswa PSD dan biasiswa lain yang diminta untuk diberikan berdasarkan kepada merit sahaja?
Walaupun penulis sedia maklum beberapa ketika selepas daripada lontaran penulisan pertama penulis iaitu “Warkah terbuka untuk pemimpin Pas dan PKR”, terdapat perwakilan Pas yang mengajukan soalan semasa Konvensyen Negara Berkebajikan di Taman Melewar, Gombakpada 11 September lalu berkenaan siapa Imam (Perdana Menteri) dan dijawab dengan begitu baik oleh Datuk Mustafa Ali sebagai berkata :
‘Saya boleh memberi anda jaminan bahawa Perdana Menteri semestinya seorang yang beragama Islam dan semoga Timbalan Perdana Menteri juga seorang beragama Islam’.
Persoalan dan jawapan ini mempunyai kaitan yang begitu rapat dengan persoalan yang pernah penulis ajukan sebelum ini iaitu soalan (a) dan (b) seperti di atas. Saya ingin mengajak pimpinan Pas untuk berfikir seketika. Sekiranya perwakilan Pas telah bertanya persoalan tersebut yang sebelum ini telah ditanya oleh penulis dalam bentuk artikel penulisan, apakah yang diharapkan pula kepada ahli biasa Pas dan pengundi di atas pagar. Mereka sudah tentu lebih mengharapkan jawapan yang lebih jelas daripada pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat. Pada hemat penulis, jawapan daripada Mustafa selaku Setiausaha Agung Pas adalah satu jawapan yang baik tetapi ia perlu kepada satu ketetapan susulan yang lebih jelas bukan hanya melibatkan jawapan daripada seorang pimpinan Pas sahaja, tetapi ia sebolehnya melibatkan jawapan secara kolektif dan konsensus termasuk daripada pimpinan Pakatan Rakyat secara keseluruhannya. Keputusan ini juga perlu dihebahkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar kesangsian mereka dapat dipulihkan. Penulis berpandangan perkara ini begitu penting kerana ia melibatkan persepsi termasuk harapan masyarakat Melayu dan Islam di Malaysia yang akhirnya bakal mempengaruhi corak pengundian mereka pada PRU13. Penulis masih berharap agar pimpinan Pas dan Pakatan Rakyat dapat menjawap enam persoalan tersebut dengan jawapan yang jelas, nyata dan sebulat suara. Melalui jawapan yang jelas, nyata dan sebulat suara melalui dokumen berbentuk tulisan daripada pimpinan Pakatan Rakyat, maka ia akan membantu usaha penyebaran dan pengembangan informasi ini kepada seluruh rakyat Malaysia agar mesej tersebut jelas dan dapat difahami serta tersemat di sanu bari rakyat khususnya masyarakat masyarakat Melayu dan Islam.
Ujian Getir buat PAS
Pada pengamatan penulis, Pas berdepan dengan ujian getir bagi berhadapan dengan PRU13. Ia adalah disebabkan Pas berpotensi kehilangan undi daripada masyarakat Melayu dan Islam yang selama ini menjadi etnik yang telah menyumbang kepada sokongan dalam bentuk pengundian yang terbesar kepada Pas setiap kali pilihan raya diadakan. Walaupun senario PRU12 unik dan agak sedikit berbeza yang mana Pas telah berjaya membolosi dan menembusi kawasan-kawasan majoriti bukan Melayu dan Islam tetapi keberadaan dan kekuatan utama Pas adalah berasaskan kepada sokongan masyarakat Melayu dan Islam. Sekiranya masyarakat Melayu dan Islam tidak menyokong dan mengundi Pas, maka Pas berhadapan dengan masalah yang besar dalam mengekalkan semua kerusi dan negeri yang dimenanginya yang majoriti pengundinya adalah etnik Melayu dan Islam. Penulis amat tertarik dengan penulisan Datuk A. Kadir Jasin dalam artikelnya bertajuk ‘Can Pas Lead a Future Government’ dan menyorot kata-kata beliau untuk difikirkan bersama seperti dibawah:
‘The price could be heaviest on Pas. Sooner or later, its genuine rural-based supporters, who truly believe in the party’s Islamic ideals, may lose trust in it. They may conclude that the party’s Islamic agendas are being made a pawn in the game by their leaders. Without the rural support, Pas runs the risk of losing Kedah and even its stronghold, Kelantan.’
Penulis seakan bersependapat dengan apa yang diutarakan oleh Kadir di mana Pas berisiko kehilangan Kedah dan Kelantan. Penulis juga melihat Pas juga berisiko kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang bakal ditandinginya pada pilihan raya umum yang akan datang sekiranya tidak ditangani pelbagai perkara yang mendatang dengan penuh hikmah dan berhati-hati. Ia adalah kerana hampir semua kerusi yang ditandingi oleh Pas adalah di kawasan majoriti pengundi daripada masyarakat Melayu dan Islam. Dengan kehilangan atau kemerosotan penerimaan undi masyarakat Melayu dan Islam, maka ia akan menyukarkan peluang Pas untuk mempertahankan kerusi dan negeri yang dimenanginya sebelum ini. Pada pengamatan penulis, pada ketika ini, Pas berkemungkinan hanya mampu memperolehi sekitar 35% ke 40% sahaja undi daripada masyarakat Melayu dan Islam di sebahagian besar kawasan yang bakal ditandinginya dan peratusan ini tidak mengambil kira di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang menjadi kubu kuat Pas.
Mengapa penulis merumuskan bahawa Pas hanya mampu meraih sekitar 35 hingga 40% sahaja (tidak mengambil kira di kawasan yang sememangnya menjadi kubu kuat Pas)? Pertama, peratusan ini dibuat berdasarkan kepada pengamatan dan sedikit analisis yang dibuat melalui trend dan corak pengundian beberapa pilihan raya kecil sebelum ini termasuk juga Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu.
Faktor kedua yang menyumbang kepada kemungkinan kemerosotan undi masyarakat Melayu dan Islam adalah perkara-perkara yang melibatkan usaha Pas dalam menangani isu-isu yang sensitif antaranya perkara yang berkaitan dengan agama. Secara spesifiknya, penulis merujuk kepada isu yang berkaitan dengan pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama dan isu berkaitan dengan Perhimpunan Sejuta Umat sebelum ini. Walaupun sebelum ini perhimpunan tersebut kehadirannya dilihat hambar oleh kebanyakan pihak, namum pada pengamatan penulis, ia mempunyai impak yang tersirat kepada Pas. Penulis tidak berhasrat untuk menghuraikan dengan lebih lanjut tentang perkara ini cukup sekadar penulis ingin tekankan di sini bahawa perkara-perkara ini meninggalkan kesan kepada Pas. Penulis percaya Pas merupakan satu-satunya parti politik yang dari awal penubuhan sehinggalah ke hari ini tidak berganjak dalam mempertahankan Islam dan umat Islam. Walau bagaimanapun, Pas bukan hanya perlu untuk mempertahankan Islam dan akidah umat Islam tetapi ‘dilihat’ oleh masyarakat Melayu dan Islam keseluruhannya mempertahankan akidah umat Islam serta sentiasa berada di barisan hadapan dalam setiap masa dan keadaan untuk mempertahankan akidah umat Islam.
Antara perbandingan contoh lain yang penulis dapat jelaskan di sini di mana Pas secara konsisten ingin melaksanakan undang-undang Islam sebagai contoh hasrat dan usaha Pas dalam pelaksanaan hukum hudud daripada awal sehinggalah ke hari ini dan ia tidak pernah berakhir. Dalam hal ini, Pas bukan sahaja ingin menegakkan syariat Islam tetapi telah ‘dilihat’ oleh masyarakat Melayu dan Islam bersungguh-sunguh menegakkan syariat Islam sebagai contoh pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan untuk diberikan peluang kepada mereka oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan dan Umno khusunya secara konsisten menentang sebarang usaha untuk melaksanakan hukum hudud sama ada di peringkat Negeri atau Negara. Selain itu, usaha murni Pas ini juga tidak mendapat sokongan daripada rakan politik lain dalam Pakatan Rakyat. Persoalannya adakah Pas mampu untuk meyakinkan parti politik lain dan ‘dilihat’ oleh masyarakat Melayu dan Islam boleh mempengaruhi rakan Pakatan Rakyat dalam usaha mereka untuk melaksanakan hukum Islam yang hanya ditumpukan kepada umat Islam sahaja dan tidak melibatkan masyarakat bukan Islam sekiranya berjaya mengambil alih Putrajaya?
Perkara ketiga yang penulis ingin jelaskan adalah berkaitan dengan implikasi rentetan daripada pembentangan Bajet Negara 2012 pada 7 Oktober lalu. Penulis mengambil pendekatan untuk tidak memberikan respons awal selepas pembentangan bajet tersebut dan ingin melihat dan mengumpulkan pandangan-pandangan dan respons daripada pelbagai pihak sama ada ahli akademik, pakar ekonomi, ahli politik, kakitangan kerajaan dan tidak lupa masyarakat umum secara keseluruhannya. Penulis membaca komen dan pandangan daripada pelbagai media massa, blog dan di Facebook serta membuat sedikit ‘content analysis’ berkenaan reaksi dan respons rakyat susulan daripada bajet tersebut. Pada pengamatan penulis, intipati Bajet Negara 2012 jelas dan nyata memberikan lebih banyak penumpuan kepada masyarakat Melayu dan Islam dalam usaha Kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan dan undi daripada masyarakat Melayu dan Islam. Sekiranya diteliti kandungan bajet tersebut, maka dapat dilihat dengan jelas pelbagai inisiatif dan peruntukan kewangan disediakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui bajet tersebut yang mana ia lebih banyak tertumpu kepada masyarakat Melayu dan Islam. Walau bagaimanapun, penulis tidak berhasrat untuk memperincikan inisiatif tersebut dalam penulisan kali ini. Tetapi apa yang lebih penting ialah sungguhpun bajet yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat adalah bajet yang komprehensif dan memberikan penekanan kepada pelbagai perkara penting termasuk juga memberikan tumpuan dan manfaat kepada masyarakat Melayu dan Islam, namun penemuan penulis melalui sedikit ‘content analysis’ menunjukkanrata-rata masyarakat Melayu dan Islam termasuk majoriti kakitangan kerajaan menyambut baik Bajet Negara 2012 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri. Walaupun ada pihak mengatakan bahawa Bajet Negara 2012 hanya menguntungkan untuk jangka masa pendek sahaja, tetapi hakikat sebenar berdasarkan reaksi yang diterima daripada rata-rata masyarakat Melayu dan Islam, mereka beranggapan bajet tersebut adalah baik dan ia bertepatan dengan harapan dan kehendak mereka. Persoalannya, adakah respons dan reaksi terhadap bajet tersebut akan diterjemahkan dalam bentuk pengundian pada PRU13? Insya-Allah, masa yang akan menentukan jawapan kepada persoalan tersebut.
Perkara keempat yang penulis lihat begitu penting dan mampu memberikan impak kepada survival politik Pas adalah berkaitan dengan isu pemecatan Datuk Dr. HasanAli dan perkara-perkara yang berlaku rentetan daripada isu ini. Sungguhpun sebelum ini Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyebut bahawa Pastidak bimbang dengan cadangan siri jelajah Hasan dan iaditambah pula dengan kajian awal oleh Pusat Penyelidikan Pas(PPP) yang menyebut kesan negatif pemecatan Hasan adalah minimum, namun perkara yang berlaku selepas itu adalah sebaliknya. Pada pengamatan penulis, kajian yang di buat oleh PPP adalah premature. Selain itu, siri wawancara yang dijalankan oleh PPP hanya melibatkan pimpinan Pas iaitu seramai 24 Yang Dipertua PasKawasan dan iaditambah pula dengan content analysis dalam kajian tersebut yang dibuat melalui komen yang diambil daripada Malaysiakini, The Malaysian Insider dan TVPasyang rata-rata didominasi oleh penyokong Pasdan Pakatan Rakyat yang tidak boleh dijadikan sebagai penanda aras kepada pandangan umum masyarakat Malaysia kerana platform yang dipilih adalah tidak seimbang dan sepatutnya dipilih platform yang lebih berkecuali yang akhirnya akan membantu dalam menterjemahkan suatu penemuan kajian yang lebih tepat.
Isu-isu yang berlaku selepas daripada pemecatan Hasan sebagai contoh PAS kehilangan Portfolio Agama dalam pelantikan Exco Pas yang baru dalam kerajaan Negeri Selangor menggantikan Hasan juga dilihat oleh ramai sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan dilihat sebagai suatu cabaran kepada Pas yang sentiasa memperjuangan Islam dan politik Islam di Malaysia.
Penulis ingin mempertegaskan di sini bahawa Pasamat perlu berhati-hati dalam hal ini. Peralihan 5hingga 10% sokongan masyarakat Melayu dan Islam bakal memberikan kesan kepada masa depan politik Pas. Dalam politik sebolehnya kita tidak mempunyai musuh walaupun seorang inikan pula musuh politiknya adalah orang yang berpengaruhi seperti Hasan. Penulis melihatHasan mempunyai kekuatan tersendiri dan apa yang dibawa oleh beliau boleh menjejaskan peluang Pasterutamanya di kawasan majoriti pengundi Melayu dan Islam. Walaupun penulisan daripada Dr. Maszlee Malik yang bertajuk ‘Surat Terbuka untuk Hasan Ali’ yang diterbitkan dalam Akhbar SInar pada 10 Februari lalu merumuskan bahawa Pasberada di landasan yang betul melalui konsep ‘Negara Kebajikan’ dengan membuat perbandingan yang begitu baik apabila memberikan contoh kejayaan kerangka perjuangan dalam beberapa negara dan gerakan Islam serta tokoh yang disebut Rashid Ghannoushi iaitu Pemimpin Politik Tunisia. Persoalannya adakah satu atau beberapa formula perjuangan boleh fit untuk semua sistem? Adakah perbandingan Malaysia dengan gerakan Islam Tanah Arab adalah sama? Berapakah populasi penduduk Islam di Negara Tanah Arab? Berapakah peratusan penduduk Islam di Malaysia? Bagaimana budaya masyarakat Arab? Bagaimana budaya masyarakat Melayu, Cina, India dan banyak suku kaum lain? Bagaimana pula dengan 60% populasi penduduk Islam di Malaysia? Banyak persoalan ini dan faktor lain yang boleh memberikan impak terhadap kesesuaian formula gerakan Islam di Malaysia.
Di artikel tersebut juga Mazslee menyebut 'Yakinlah Datuk, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya mendapatkan majoriti undi dalam pilihan raya di negara-negara mereka kerana pendekatan baru ini, Pas juga sedang meniti langkah tersebut', Ayat ini bersangkutan dengan ayat di atas yang kekaitan dengan kesesuaian formulasinya. Ayat ini memperlihatkan bahawa keyakinan Pas berada di jalan yang betul sebagaimana yang digunakan oleh gerakan-gerakan Islam yang lalu untuk mendapatkan majoriti undi. Pada hemat saya, untuk menjawab ayat ini, keputusan pilihan raya yang datang akan merungkai sama ada kenyataan ini betul ataupun perbandingan yang di buat oleh Maszlee tidak sesuai formulasinya untuk digunakan di Malaysia yang lebih sesuai dengan kerangka formulasi ‘Negara Islam’ sebagaimana amalan Pas sebelum ini dan ia adalah selari dengan saranan Hasan mutakhir ini agar Pas kembali semula kepada konsep ‘Negara Islam’. Hanya masa akan menentukan formulasi manakah yang lebih sesuai di Malaysia.
Di kesempatan ini juga, penulis ingin berkongsi harapan kepada pimpinan Pas agar dapat mempertegaskan pendirian dalam isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Sebelum ini seperti yang kita sedia maklum pendirian Pas adalah konsisten dan amat jelas iaitu menentang dasar PPSMI dan menyokong usaha tokoh-tokoh bahasa dan Sasterawan Negara untuk mengembalikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu sepenuhnya. Kemuncak penentangan adalah melalui Perhimpunan anjuran Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang telah diadakan pada 7 Mac 2009 yang lalu dan Pas menyokong penuh usaha Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) tersebut. Walau bagaimanapun, seperti yang kita sedia maklum, salah seorang pemimpin DAP telah menyatakan sokongan untuk diberikan pilihan bahasa bagi pengajaran Sains dan Matematik di sekolah. Ini dilihat satu pandangan yang berbeza dan penulis mengharapkan agar Pas konsisten dalam menyatakan pendirian bahawa pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik perlu dilaksanakan dalam Bahasa Melayu dan menentang sebarang usaha menyokong PPSMI atau cadangan pilihan bahasa pengajaran Sains dan Matematik di sekolah. Perkara ini begitu penting dalam memperlihatkan Pas sentiasa menyatakan pendirian yang konsisten dalam isu ini dan memperlihatkan kepada masyarakat Melayu dan Islam khususnya bahawa Pas mempunyai kekuatan dalam usaha mempertahankan bahasa kebangsaan.
Akhir sekali, penulis percaya Pas merupakan sebuah parti politik yang matang dan berpengalaman dalam menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Penulis juga percaya Pas sedang berusaha gigih untuk membuat persediaan rapi bagi menghadapi PRU13. Ujian getir buat Pas adalah tertumpu kepada kemampuan mereka untuk mempertahankan negeri dan kerusi yang dimenanginya sebelum ini dan mengorak langkah untuk menambah serta mengembangkan sayap penguasaan Pas di lebih banyak kerusi dan negeri yang tidak dimenanginya sebelum ini. Di atas kertas, ia dilihat agak sukar untuk dicapai pada ketika ini tetapi ianya tidak mustahil. Namun, akhirnya hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
* Penulis adalah seorang pelajar Malaysia yang sedang membuat PhD di luar negara

Post a Comment