Home » » kenapa Malaysia perlu contohi Korea?

kenapa Malaysia perlu contohi Korea?

Oleh Mohd Raman Daud



NAMA Korea Selatan kian mengharum dewasa ini. Bahkan, imejnya seolah-olah menggerhanakan Jepun yang terakhir ini dilanda pelbagai masalah termasuk tribencana besar, skandal politik dan penarikan balik banyak keretanya yang didapati 'cacat'.

Korea Selatan sudah dapat bangga dengan  Ban Ki-moon, diplomatnya yang kini dianggap antara Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dinamis.
Jika terpilih pada pertengahan April ini, Jim Yong Kim (seharusnya dieja Kim Yong Jim) yang asalnya Korea tetapi warga Amerika Syarikat, dijangka menjadi ketua keturunan Asia pertama di Bank Dunia, agensi pembangunan terbesar dunia.
Kebangkitan Korea Selatan dianggap menepati harapan sesetengah pemimpin Asia yang serik dengan model Barat kerana pengalaman dijajah.

Malaysia yang pernah diterajui  Tun Dr Mahathir Mohamad (perdana menteri 1981-2003) menampilkan Dasar Pandang Timur yang pernah cuba mencontohi amalan terbaik Jepun dan kini Korea Selatan pula.
Korea Selatan pernah dijajah China dan Jepun. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, Semenanjung Korea mengalami pergolakan perih yang memuncak dengan Perang Korea pada 1950.

Campur tangan Barat, khususnya Amerika, telah membolehkan Korea Selatan terdiri menurut lunas demokrasi Barat. Namun, harapan Amerika tidak kesampaian kerana sehingga lewat 1980-an, Korea Selatan sering menampilkan bekas jeneral sebagai presidennya dengan corak pemerintahannya dinilai kuku besi atas alasan membentengi negara daripada ancaman komunis Korea Utara.

Menurut Emerson Chapin dalam makalah di jurnal Foreign Affairs pada April 1969, rakyat Korea Selatan melalui semacam anjakan jiwa daripada mengeluh 'Bagaimanakah kami akan berjaya' menjadi 'Kami boleh menghasilkannya'.
Walaupun pada mulanya berteraskan ekonomi pertanian, Korea Selatan mula meniru Jepun agar menjadi sebuah negara industri.

Namun, berbeza daripada Jepun, bantuan pemerintah Korea Selatan ditujukan kepada syarikat besar atau konglomerat yang diasaskan oleh keluarga iaitu dipanggil chaebol seperti Samsung, Ssangyong, Hyundai dan LG.
Kerjasama pihak tentera Korea Selatan dengan chaebol amat akrab sehingga pernah terpapar semacam suasana subahat atau kronisme pada peringkat awalnya.

Sering chaebol dikatakan menyumbang kepada dana selindung kempen politik (flush fund).
Untuk mengatasi persaingan Jepun, firma-firma Korea Selatan menghasilkan produk setanding yang agak lebih murah.
Lama-kelamaan barangan elektrik seperti televisyen, mesin basuh sehinggalah kenderaan Korea Selatan kian dianggap bermutu sehingga dapat menembusi pasaran seluruh pelosok dunia.
Bahkan, firma binaan Korea Selatan dianggap setanding dengan Jepun kerana dapat menawarkan kos berdaya saing.
Para ahli sukannya pula seperti K.J. Choi di dalam bidang golf dan Park Ji Sung dalam sukan bola sepak dianggap bertaraf dunia.

Paling jelas ialah industri hiburan Korea Selatan kian ampuh. Festival Filem Antarabangsa Busan di negara itu sering menonjolkan kelebihan Korea Selatan. Selain jenama K-pop bagi lagu-lagunya, industri hiburannya menghasilkan filem/ drama televisyen yang amat popular seperti siri drama cinta Winter Sonata yang lagu temanya turut disadurkan ke bahasa Melayu berjudul Sonata Musim Salju nyanyian Hazami.
Menurut seorang  pengamat Malaysia, Borhan Abu Samah, yang menulis di harian Utusan Malaysia baru-baru ini, kejayaan Korea Selatan kerana rakyatnya amanah dan jujur.Antara lain, rakyatnya tidak cuba menipu pelancong.

 Borhan berhujah, Malaysia berada dalam keadaan lebih baik daripada Korea Selatan kerana tidak mengalami ancaman daripada jiran.
Namun, sedang Korea Selatan begitu pesat membangun, Malaysia masih ketinggalan dalam banyak hal. Hasil pembangunan pesat Korea Selatan, katanya, kini 'gaji tukang sapu sampah pun hampir sama dengan gaji pegawai kerajaan di Malaysia'.

Kemakmuran Korea Selatan sebagai antara 10 ekonomi terbesar dunia telah mendorong kenaikan taraf hidup rakyatnya terutama sejak zaman kegawatan Asia pada 1997.
Ketika itu, sektor hartanah Korea Selatan mengalami kejatuhan sedangkan banyak firma Korea Selatan terjejas sehingga ada pekerjanya membunuh diri kerana beban hutang.
Namun, semangat kebangsaan Korea Selatan cukup besar sehingga ramai rakyatnya sanggup menghulurkan bantuan agar pemerintah dapat melaksanakan pembaharuan ekonomi.

Kini pegawai sektor awam Korea Selatan merekodkan kenaikan kekayaan berikutan peningkatan hartanah milik mereka. Sekitar 60.1 peratus atau 2,329 pegawai pemerintah dalam bidang pentadbiran, perundangan dan kehakiman telah bertambah kaya kerana harta milik mereka meningkat harganya, kata laporan Kementerian Pentadbiran Awam dan Keselamatan Korea Selatan.
Menurut Encik Borhan, 'sikap amanah dan jujur orang Korea Selatan dapat dilihat melalui peniaga di pinggir jalan yang memberi potongan harga yang sama tidak kira orang tempatan ataupun pelancong'.
Walaupun pekerja Korea Selatan lebih dikenali dengan mogoknya untuk menuntut gaji tinggi dan layanan setimpal, etika pekerjanya tinggi.

Bahkan chaebol juga kian mempunyai dasar propekerja dan kedermawanan sesuai dengan suasana politik Korea Selatan yang kian matang.
Pada 14 April ini, Korea Selatan akan mengadakan pilihan raya tetapi suasananya tenang.
Seorang pemimpin kanan pembangkang dari Parti Bersatu Progresif (UPP) Lee Jung-hee menarik diri daripada bertanding kerana malu dan menganggap dirinya sebagai beban kepada parti. Beliau dikaitkan dengan skandal penipuan, tetapi menafikannya.
Dahulu skandal seks dan rasuah sering mewarnai Korea Selatan. Namun, sejak kes bunuh diri (malu dek skandal rasuah) oleh mantan presidennya, Roh Moo-Hyun, berlaku semacam penyedaran luar biasa di Korea Selatan.
Boleh dikatakan hampir semua presiden terdahulu Korea Selatan dikaitkan dengan rasuah. Namun, kes Encik Roh telah merubah imej rasuah negara itu yang kian membaik sejak kebelakangan ini.

Walaupun Jepun dan Korea Selatan maju dengan peneguhan bahasa bonda masing-masing, sejak sedekad lalu bahasa Inggeris kian luas digunakan di kota-kota utama Korea Selatan. Dari segi keterbukaan kepada pekerja asing dan unsur antarabangsa, Korea Selatan mengatasi Jepun.
Mentelah industri pelancongan kian penting sebagai sumber pendapatan di Korea Selatan. Tahun 2010 hingga 2012 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Korea.

Kalangan pengamat berpendapat jika Korea Utara (komunis) dan Selatan dapat bersatu secara damai seperti Jerman Barat dan Jerman Timur (komunis) pada 1989, akan muncul sebuah negara Korea yang kuat kerana kekayaan sumber alam dan kegigihan rakyatnya.
Bahkan, jika senario itu tercapai, sebuah Korea mungkin dapat mengatasi Jepun dan bahkan juga China yang kini merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia
Share this article :

Post a Comment