Home » » PRU 13- Peluang samarata parti politik berkempen di TV

PRU 13- Peluang samarata parti politik berkempen di TV

Semua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diberi peluang sama rata menjelaskan manifesto masing-masing menerusi semua badan penyiaran tempatan, khususnya stesen televisyen.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, bagaimanapun berkata pihak berkuasa berkaitan akan menentukan syarat dan had tempoh masa yang sesuai kepada parti politik berbuat demikian.
Perkara itu diputuskan selepas kertas Kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses media sama rata membentangkan manifesto diluluskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pagi kelmarin.
"Apabila Dewan Rakyat dibubarkan atau pada tempoh berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), parti politik dibenarkan menjelaskan manifesto masing-masing menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan badan penyiaran lain.

"Peranan badan penyiar swasta pula akan ditentukan oleh kerajaan selepas ini mengikut hak serta lunas undang-undang sedia ada," kata Dr Rais.
Dalam pada itu, Dr Rais berkata, bagi memberi kebenaran menyampaikan maklumat, RTM perlu mengikut selera parti politik kerana ia turut diamalkan di negara Komanwel dan negara maju lain yang menetapkan syarat tertentu yang perlu dipatuhi.
"Misalnya di England, BBC memberi 10 hingga 15 minit bagi menyiarkan manifesto parti politik ketika pilihan raya dengan beberapa syarat yang mereka kenakan.
"Begitu juga di Singapura dan Thailand. Malah, yang terbaru, Myanmar, turut memberikan peluang dengan syarat tertentu dalam bentuk amalan yang boleh diterima pelbagai pihak," katanya .
Sementara itu, kerajaan Malaysia dijangka mengagihkan lagi habuan kepada 5.2 juta keluarga miskin pada Ogos ini menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Menurut dua pegawai kanan kerajaan kepada Reuters, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kemudian akan membentangkan belanjawan murah hati pada September sebelum umumkan tarikh pilihan raya.
"Oktober kini merupakan tempoh yang terbuka bagi mengadakan pilihan raya.
"Ini adalah pilihan raya yang berisiko dan perdana menteri tidak mahu mempertaruhkan peluang.
"Beliau harus membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa bersedia membantu mereka. Justeru, beliau harus mengimbangi pembaharuan dengan bantuan ekonomi sosial," kata pegawai kanan itu.
Share this article :

Post a Comment