News- Pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli, dalam satu kenyataan semalam menyatakan keputusan beliau menarik diri daripada jawatannya di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, yang diperbesarkan media milik Umno/Barisan Nasional (BN) sebagai petanda keretakan dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, adalah keputusan peribadi "biasa" bagi "menumpukan perhatian sepenuhnya pada usaha Keadilan dan Pakatan Rakyat (PR) menumbangkan Umno/Barisan Nasional".
Dalam satu kenyataan yang turut dikirim melalui e-mel kepada akhbar ini, Rafizi berkata beliau berhasrat menarik diri sebagai ketua eksekutif unit perancangan ekonomi Selangor sejak Oktober lalu ketika PKR memberi tumpuan serius untuk membongkar penyelewengan National Feedlot Corporation (NFC).
Tetapi, memandangkan tarikh pilihan raya umum belum jelas ketika itu, beliau menangguhkannya.
"Kini, pembubaran Dewan Rakyat perlu dibuat dalam tempoh kurang dari satu tahun. Dengan kepastian ini, saya yakin masa dan tenaga saya lebih baik ditumpukan kepada usaha merancang kempen Keadilan (PKR) dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya," katanya.
Rafizi juga menegaskan peletakan jawatan itu "satu tindakan biasa yang juga dilandaskan pada asas moral kerana seorang ahli politik tidak wajar dibayar gaji dari wang rakyat apabila tumpuannya cenderung kepada aktiviti politik partinya".
Akhbar-akhbar arus perdana setempat mendakwa tindakan beliau meletak jawatan ada kaitan dengan perebutan kuasa antara timbalan presiden PKR, Azmin Ali, dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ada berkata ia mungkin kerana beliau tidak bersetuju dengan ketua umum PKR dan PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin. -cyberita

Post a Comment