RAIKAN KEMENANGAN: Rakyat Mesir meraikan kemenangan calon Persaudaraan Islam, Encik Mohamed Morsi Eissa al-Ayat, selepas beliau diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya presiden negara itu di Dataran Tahrir di Kahirah, kelmarin.
- Foto AFP
KAHIRAH: Encik Mohamed Morsi Eissa al-Ayat semalam berikrar akan menjadi pemimpin semua rakyat Mesir selepas beliau menjadi presiden pertama yang dipilih daripada sebuah parti Islam di negara Arab paling ramai penduduk selepas satu pilihan raya presiden yang memecahbelahkan rakyatnya.
Encik Morsi, yang juga pemimpin pertama yang dipilih sejak berlakunya pemberontakan yang menggulingkan bekas presiden Hosni Mubarak, menewaskan pesaingnya dan bekas perdana menteri Mesir, Ahmad Shafiq, dengan meraih 51.73 peratus undian dalam pilihan raya itu.
"Saya akan menjadi presiden semua rakyat Mesir," kata Morsi selang beberapa jam selepas beliau diisytiharkan sebagai pemenang.
"Saya menggesa anda, rakyat Mesir yang agung... agar mengukuhkan lagi perpaduan negara kita," kata jurutera berusia 60 tahun itu.
Perpaduan negara "adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada waktu-waktu sukar ini", tambahnya.
Morsi, yang meletak jawatan dalam kumpulan Persaudaraan Islam untuk bertanding bagi jawatan tertinggi Mesir itu, turut mengucapkan terima kasih kepada "para syahid" pemberontakan di negara itu atas kemenangan tersebut.
"Revolusi ini akan berterusan," tambahnya.
Beliau juga berikrar akan menghormati perjanjian antarabangsa, sambil menambah: "Kami datang dengan aman."
Mesir adalah negara Arab pertama yang menandatangani perjanjian damai dengan Israel pada 1979.
Pilihan raya presiden itu pula diadakan selepas negara itu mengharungi pergolakan selama 18 bulan di bawah pemerintahan tentera semasa ia menjalani peralihan daripada pemerintahan Mubarak.
"Pemenang pilihan raya presiden Mesir pada 16 hingga 17 Jun itu ialah Mohamed Morsi Eissa al-Ayat," kata ketua suruhanjaya pilihan raya Mesir, Faruq Sultan, ketika mengumumkan keputusan pengundian itu, awal kelmarin.
Ratusan ribu penyokong Morsi bersorak sambil mengibarkan bendera dan posternya untuk meraikan kemenangan itu di Dataran Tahrir - tempat simbolik yang mencetuskan pemberontakan menentang rejim Mubarak pada Februari tahun lalu.
Masyarakat antarabangsa turut mengalu-alukan keputusann pilihan raya presiden Mesir itu kelmarin serta mengucapkan tahniah kepada Morsi.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, mengucapkan tahniah kepada Encik Morsi sambil berikar akan menyokong peralihan Mesir kepada sebuah negara demokrasi.
Ketua sementara Gereja Kristian Qibti, yang sebahagian besar pengikutnya bimbang akan penambahan sokongan kepada parti Islam, turut mengucapkan tahniah kepada Morsi.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, menggesanya agar membina institusi-institusi kukuh dan bebas serta membangunkan demokrasi, manakala Kesatuan Eropah (EU) menggesa beliau menjalin hubungan dengan kumpulan-kumpulan politik dan sosial lain.
Morsi meraih 13,230,131 undi berbanding dengan 12,347,380 undi yang diterima Encik Shafiq, kata Sultan ketika mengumumkan keputusan rasmi pilihan raya itu. - AFP.
Post a Comment