Home » » Hadi Awang putuskan status Nasharudin di dalam PAS

Hadi Awang putuskan status Nasharudin di dalam PAS


Parti Islam SeMalaysia (PAS) akan menyerahkan kepada Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membuat keputusan sama ada mantan timbalan presiden parti itu,  Nasharudin Mat Isa, perlu dikenakan tindakan menyusuli kenyataan beliau yang menggesa PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR), berikutan pendirian Parti Tindakan Demokratik (DAP) berhubung isu hudud.
Naib Presidennya,  Salahuddin Ayub, dipetik dalam laporan versi dalam talian akhbar Sinar Harian semalam sebagai berkata setakat ini belum ada sebarang perbincangan berhubung isu tersebut.
"Kami serahkan kepada presiden parti untuk membuat keputusan, sama ada beliau akan dikenakan tindakan atau sebaliknya. Pada masa ini, parti hanya memantau perkembangan berkaitan isu tersebut.

"Malah, parti juga belum memutuskan sama ada Nasharudin akan diberi surat tunjuk sebab atau tidak, dan setakat ini kepimpinan pusat belum memanggil beliau untuk memberikan penjelasan," katanya kepada Sinar Harian.
Selasa lalu, Nasharudin dikatakan telah mencadangkan agar PAS keluar daripada PR jika DAP menentang hudud seperti yang disiarkan stesen televisyen TV3.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, pula mempersoalkan kenapa Nasharudin tidak membawa cadangan itu kepada Majlis Syura untuk dibahas dan dibincangkan.
"Persoalannya, adakah beliau merasakan kekurangan ilmu untuk berhujah, Nasharudin pernah memegang pelbagai jawatan, oleh itu sudah semestinya beliau tahu proses yang diamalkan parti ini.
"PAS adalah parti yang bersifat terbuka dan sentiasa mendengar pendapat setiap ahlinya, mereka boleh meluahkan sebarang pandangan atau cadangan," kata beliau seperti yang ditukil akhbar itu.
Sementara itu, laman berita Malaysiakini semalam memetik Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sebagai berkata memandangkan Nasharudin masih ahli Majlis Syura, beliau digesa menghubungi badan berkenaan dalam waktu terdekat.
"Beliau (Nasharudin) perlu tampil untuk memberikan penjelasan dengan seberapa segera," kata Datuk Tuan Ibrahim.
Beliau juga berkata sekiranya Nasharudin tidak mengambil inisiatif itu, PAS Pusat bersama Majlis Syura akan berbincang mengenai tindakan selanjutnya dalam mesyuarat akan datang.
Bagaimanapun, menurut beliau, kenyataan  Nasharudin itu bertentangan dengan apa yang dikatakan beliau dalam muktamar PAS sebelum ini.
Share this article :

Post a Comment