BERUSAHA menjadi warak dengan cuba melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya adalah baik dan mesti disandarkan pada ilmu yang benar dan bermanfaat. Pastikan ajaran Islam sebenar difahami dan tidak disalah tafsir.
Pemahaman yang berdasarkan akal semata-mata atau tafsiran yang sempit boleh membawa kepada sikap melampau. Jika ini berlaku, ia hanya akan merugikan Islam.
Sebarang salah faham dan sikap melampau itu mesti dibetulkan agar Islam benar-benar dilihat sebagai agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
Inilah antara mesej yang ditekankan dalam forum 'Antara Warak dan Ekstrem Dalam Islam... Adakah Sama?' yang berlangsung di Masjid Darul Aman baru-baru ini.
Topik dalam forum anjuran bersama Lembaga Pentadbir Masjid Darul Aman (LPM) itu dan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dikupas oleh anggota panel, Ustaz Haji Ali Mohamed, dan Ustaz Haji Saripi Rawi, dengan dipengerusikan oleh Ustaz Suhaimi Hassan.
Menurut Ustaz Haji Ali, Islam datang untuk selamatkan manusia, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kepada yang mungkar, baik pada diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara mahupun dunia.
'Kita adalah sebaik-baik ummah... maka itu kita harus tunjukkan Islam sebagai agama rahmat kepada seluruh alam.
'Tetapi, kerana masalah dan perbuatan yang menimbulkan salah tanggap, Islam sebagai agama rahmat menjadi agama yang ditakuti, dan menggambarkan seolah-olah kita bukan rahmat untuk alam.
'Namun, kita tidak boleh ketepikan sebaliknya mendekati mereka (yang menyebabkan salah tanggap itu),' kata Ustaz Haji Ali, yang juga pengerusi bersama RRG.
Menurutnya, antara sikap melampau ialah menganggap diri dan kumpulannya sahaja yang betul, cepat menolak pandangan sehingga menyukarkan diri, dan mudah mengkafirkan.
Dalam zaman awal Islam pun sudah ada golongan ini, seperti puak Khawarij yang mengkafirkan orang Islam sendiri.
Kini, dalam masyarakat Islam sendiri, ada golongan yang saling menyalahkan dan berasa hanya kumpulannya yang betul, dan lebih buruk mereka mengkafirkan orang Islam yang lain.
Menjelaskan sikap melampau, Ustaz Haji Saripi pula memberi contoh bahawa beliau pernah didatangi seorang yang mahu kembali kepada Islam sebenar hingga menyatakan bahawa kita tidak wajar pakai dolar, sebaliknya gunakan dinar/dirham seperti zaman Nabi - sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerana dinar dan dirham tidak laku di sini.
Warak tidak bermaksud demikian, tetapi berhati-hati seperti memastikan bahawa apa yang dimakan adalah halal tetapi tidak sampai pula menimbulkan waswas kepada yang lain.
Menjelaskan bagaimana membetulkan salah tanggapan terhadap sifat warak, Ustaz Haji Ali berkata, dalam mengamalkan ajaran Islam, keadaan, masa dan tempat wajar diambil kira.
Setiap amalan perlukan ilmu (membaca buku, Al-Quran, hadis) dan bukan sekadar menggunakan akal atau tidak bersandarkan ilmu atau maklumat yang betul.
Di Singapura, kita ada keselamatan dan kesejahteraan yang perlu dijaga bersama kerana kita berkongsi tempat dengan orang lain.
'Orang Islam mesti menunjukkan contoh yang baik tentang Islam, bagaimana Islam boleh hidup dengan masyarakat bukan Islam tanpa mengorbankan sebarang ajaran Islam. Kita kena jaga interaksi antara kita dengan yang lain supaya mereka berasa Islam membawa keamanan, berasa selamat hidup bersama. Elakkan berlakunya pelampauan,' kata Ustaz Haji Ali.
Pelampauan, ujarnya, boleh terjadi dengan sendiri atau menerusi kumpulan.
Puncanya banyak, termasuk keterdedahan pada alam siber dan sikap marah dan benci yang tidak terkawal. Internet boleh mempengaruhi seseorang menjadi pelampau.
'Hakikatnya, beberapa orang di negara kita menjadi radikal dengan Internet sahaja - tak belajar, tak jumpa ustaz, tak jumpa kumpulan, terus hendak jihad, hendak pergi perang terhadap orang bukan Islam. Tidakkah ini bahaya?' ujarnya.
Antara tanda-tanda ke arah pelampauan ialah:
Sering cakap fasal perang.
Bercakap tentang daulah Islamiyah (negara Islam), bagaimana mewujudkannya dan mengambil baiah (ikrar).
Bercakap-cakap tentang perlunya ada ummah yang kuat, bercakap tentang sayang dan benci (melibatkan orang Islam dan bukan Islam).
'Kalau tafsiran mereka betul, seperti ke arah kesederhanaan - tidak cepat marah, tidak cepat benci, tidak menyalahkan orang lain, alhamdulillah. Tapi kalau dia menyalahkan orang lain dan mendakwa dirinya sahaja betul, kita harus hati-hati,' ujar Ustaz Haji Ali.
Ustaz Haji Saripi menyatakan bahawa apa yang dilarang Allah adalah yang tidak baik kerana Allah bersifat pengasih dan penyayang dan telah menggariskan syarat dan peraturan.
'Hukum dilaksana dengan mengikut syarat. Kalau sesuatu dilakukan tidak ikut syarat, itu tergolong dalam istilah melampau,' jelasnya.
Menjawab soalan peserta kenapa label seperti pelampau, teroris dan ekstemis hanya dikaitkan pada orang Islam, Ustaz Haji Ali berkata itu adalah tanggapan.
Hakikatnya, teroris dan pelampau ada di mana-mana, di dalam pelbagai agama. Ada yang tidak pakai agama.
'Kalau mereka tidak gunakan Al-Quran, hadis, atau istilah agama, kita tidak hadapi masalah.
'Namun, kita kena terima hakikat bahawa ada segolongan kecil yang salah tafsirkan Islam, menggunakan istilah daripada Al-Quran dan hadis mengikut tafsir sendiri, bukan yang telah dikupas oleh para ahli tafsir.
'Kita perlu betulkan ini. Kalau kita tidak berdiri menentang fahaman mereka, orang akan berkata Al-Quran dan hadis sebarkan fahaman semacam ini. Islam tidak pernah ajar seperti ini.
'Kita mahu jelaskan bahawa Islam bukan agama pelampau, teroris, atau fundamental. Kita kena berdiri, fahamkan dunia dan orang bukan Islam bahawa Islam bukan seperti mereka katakan. Itu salah faham.
'Kita tidak akan terima jika ada yang kata Islam itu agama teroris dan pelampau. Kita kena jaga orang kita supaya tidak ada sifat-sifat itu.
'Kita hendak hidupkan Islam yang sebenar, bahawa Islam adalah agama rahmatan lilalamin,' jelas beliau lagi.
Post a Comment