Home » , » Bolehkan Islam menjadi penyatu Perpaduan Melayu?

Bolehkan Islam menjadi penyatu Perpaduan Melayu?

Setan mengilai-ngilai gembira kerana Melayu di Malayia, pada awal melenia baru sudah ketiadaan kudrat untuk mencapai perpaduan. Walau sekadar perpaduan fikiran pun sudah tak mungkin kerana ketiadaan asas ideologi yang dapat diterima ramai sedangkan agamanya tak habis-habis berjadual pada yang remeh-temeh dan kelihatan bagai gila kuasa. 

Gapena berjaya menghimpun lebih 200 buah pertubuhan-pertubuhan Melayu yang telah bersidang di Johor Baru beberapa tahun lalu. Inisiatif itu mati tak berkubur.

Beberapa percubaan yang mengekori langkah itu, termasuk Gerakan Melayu Bangun, tertiarap dan berdiam seperti mayat, satu petanda bahawa pilihanraya umum ke 13 yang dinanti-nantikan tetap menipis antara Barisan Nasional dan Pakatan. Cina bersatupadu, Melayu berkecai. 

Kesudahannya Datuk Ibrahim Ali, dengan bersandar kepada alumni UITM, berjaya mendirikan sebuah NGO (Perkasa) untuk cuba memikat Melayu dengan sokongan Tun Dr Mahathir Mohammad. Belum sempat hidangan perpaduan Melayunya panas, Ibrahim Ali tiba-tiba kedengaran mahu undang-undang murtad diluluskan oleh Parlimen.

Apa kena-mengena undang-undang murtad dengan perpaduan Melayu? Ramai orang dah bosan dengan Islam di Malaysia dan apakah mereka mahu dipaksa tunduk pada Islam yang penuh karenah dan yang tak tentu arah semata-mata kerana Ibrahim Ali percaya beliau boleh satupadukan Melayu tanpa sebarang ideologi asas? 

Apa mungkin perpaduan fikiran tercapai melalui agama Islam? Kenapa Islam bercakaran sama sendiri di Pakistan, Iraq, Lubnan dan termasuk di Indonesia?

Bolehkah Islam membawa perpaduan kaum Melayu? Pada bila masa dalam sejarah Melayu Islam telah menjadi tali perpaduan bangsanya? Bila? 

Apakah sudah kita lupakan Perang Padri 1810 – 1830 di Sumatera? Benarkah kita tidak ambil pusing dengan kegagalan gerakan Darul Islam Kartosuwiryo-Daud Bereueh-Kahar Murzaka berikutan proklamasi Kemerdekaan Indonesia oleh Bung Karno dan Bung Hatta?

Sudah berapakah ajaran sesat yang telah dikenalpasti oleh Pusat Islam Jabatan Perdana Menteri? 

Sebilangan tokoh-tokoh Melayu kelihatan terang-terang bertindak kerana menagih populariti dan bukan kerana posisi mereka yang berhasil daripada kajian yang rapi. 

Melayu mestilah beragama Islam menurut perlembagaan Malaysia. Itu bukan bayangan sebenar bangsa Melayu. Sebilangan besar anggota bangsa Melayu sebelum Merdeka mengaku menjadi “Orang Jawi”.

Seseorang yang memeluk agama Islam disebut “masuk Melayu” pada masa itu. Bila berkhatan orangnya dikatakan “masuk Jawi” manakala sekolah-sekolah agama dipandang sebagai “sekolah Arab”.

Orang-orang Jawi mempunyai pegangan agamanya yang tersendiri, yakni agama universal yang berasaskan Beringin Songsang, disebut di Indonesia sebagai Agami Jawi.

Generasi baru samasekali tidak mengetahui warisan bangsa ini. Mereka tidak tahu mengenai “masuk Jawi”. Mereka tidak faham agama Islam hanyalah “pakaian” pada bangsa Melayu masa itu, bukan agama wahyu Tuhan yang memestikan Hudud, Qisas dan Takzir dilaksanakan sebagai prasyarat untuk bangsa dan negara beroleh kemajuan dan keselamatan.

Maka satu perubahan besar telah berlaku pada bangsa Melayu sejak kemerdekaan dan sampai masa ini belum ada sesiapa yang telah membuat kajian yang mendalam untuk memastikan apakah perubahan itu menguntung atau merugikan bangsanya.

Dengan alas Agami Jawi yang universal itulah bangsa Melayu bersikap terbuka dan membolehkan sebilangan di antara tokoh-tokohnya sama ada mendakap sosialisme atau apa-apa lain ideologi sekuler . Bahkan Dr Burhanuddin al-Helmi cuba menerapkan sosialisme dalam Islam melalui Parti Pas.

Ada yang berpendapat Islam juga ideologi.

Islam adalah agama, bukan ideologi. Sesuatu ideologi mesti punyai doktrin (ajaran), matlamat-matlamat sikap, sosial dan ekonomi serta mempunyai methode atau kaedah untuk mencapai matlamat-matlamat yang dimaksudkan.

Methode atau kaedahnya perlu bersesuaian dengan sesuatu teori sosial dan satu pandangan sejarah, bermaksud ianya bukan bersandar pada kepercayaan dan emosi.

Islam tak begitu. Contohnya, meskipun terdapat pada al-Qur’an larangan mengenai harta kekayaan berkumpul pada segelintir orang-orang kaya dan ayat itu menjurus ke arah keadilan sosial, metode untuk melaksanakan agihan semula pendapatan dan harta (redistribution of income and wealth) yang diperlukan tidak ada. 

Ini bidang muamalat, khusus mengenai adil immarah. Tidak terdapat undang-undang muamalat yang menentukan cara atau kaedah agihan semula pendapatan dan harta yang efektif dan berkesan. Jika ada, ianya hanyalah sekadar menggunakan zakat, fitrah, sadaqah dan lain-lain acara sepertinya.

Maka balik-balik kita diberitahu adil immarah akan tercapai melalui zakat, sadaqah dan sebagainya, yang bukan methode mujarab untuk agihan semula pendapatan dan harta. Itu omongan saja. 

Kerana itu, bila kita berhadapan dengan gejala sosial dan ekonomi seperti yang telah pun berulang di Malaysia antara yang kaya dan yang kurang berada, Islam hanya banyak bercerita akan tetapi tidak ada methode yang disetujui untuk menangani masalah-masalahnya dengan cara yang aman dan yang mudah difahamkan masyarakat.

Methode yang mujarab tidak kelihatan di mana-mana pada negara-negara Islam sepanjang sejarah.

Di sini, sepanjang 20 tahun Mursyidul Am parti Pas, Datuk Haji Nik Aziz Nik Mat menjadi MB Kelantan, apakah yang pernah beliau lakukan untuk memajukan pembangunan dan mengurangkan jurang pendapatan di antara yang kaya dan yang kurang berada di negeri Cik Siti Wan Kembang itu?

Apakah yang pernah beliau lakukan? Ada cerita atau sama sekali sunyi macam orang betapa dalam gua? 

Kenapa tak ada apa-apa yang beliau telah mengerjakan? Adakah kerana Najib telah menyekat royalti minyak petrol negeri Kelantan dan sebab itu Nik Aziz ketiadaan ongkos? Atau apakah yang lebih menasabah adalah kerana Nik Aziz, seperti lain-lain ulama pada yang lazim, tidak mengutamakan pembangunan.

Ideologi sekuler adalah satu kemestian. Ianya akan menentukan prioritas pembangunan, menentukan nilai-nilai kemasyarakatan atau social values, memberikan kita satu garis perpaduan fikiran dan menentukan matlamat-matlamat perjuangan secara akliah, bukan secara kepercayaan dan emosi.

Dalam konteks negara sekarang ini kita boleh dengan mudah sekali menyusun Transformasi yang diutarakan oleh PM, Datuk Seri Najib Tun Razak, supaya berdiri pada landasan dan model Buruh (Labor) seperti yang didakap oleh ayah beliau, Tun Abdul Razak Hussein. Ini mudah saja dikerjakan oleh sebuah pasukan kecil dan barang dapat diselenggarakan dalam tempuh selewat-lewatnya setahun. 

Dengan ada landasan pemikiran dan ideologi sedemikian itu barulah dapat kita yakin dan percaya kita akan beroleh perpaduan fikiran dan mendukung halatuju yang terang, nyata dan yang akan menentukan sikap moral dan akhlak kita. Ini sudah diamalkan Erdogan di Turki dan mungkin menjadi kenyataan di Tunisia juga.

Tak payah hudud, tak payah Dharuriyat al-Khamsa dan tak payah nak merujuk kepada buku-buku teks zaman Baghdad dan Usmaniyah atau buku-buku teks Zionis dan Israel.

Islam di Malaysia semakin menjadi karut. Pada sebuah buku terbitan sebuah institut Islam kita diberitahu para jurnalis hendaklah menjadi seperti perawi Hadis, yakni hanya melaporkan apa yang disebut atau yang ditutur oleh ulama (sarjana-sarjana). 

Pada mereka ini ulama adalah waris anbiya’. 

Siapa mahu tamadun dan budaya seperti itu? Berapa ramaikah di antara orang Melayu dan rakyat Muslim yang mahu sikap seperti itu menguasai budaya dan kuasa?

Islam semakin hari semakin menjadi karut Beb. Bayangkanlah apa yang telah terjadi pada parti Pas dan pada Jakim, Beb.

Mereka tuduh menuduh dan serang-menyerang berterusan berbulan-bulan, sehingga Pas hampir lumpuh dan pada adegan Jakim pula bekas Mufti Perlis, Dr. Asri, dan Mufti Perlis, Dr Juanda, dituduh Wahabi dan ada kaitan dengan terroris! 

Islam di Malaysia sudah pun mengemis, menjadi budaya pariah, Beb . Siapa mahu agama sepertinya?

Baru-baru ini jadi lagi hal yang seumpamanya. Mufti Perak, Harussani, isytiharkan pada pelancaran pertubuhan Jati 21 Feb 2012 bahawa Allah mahu sekelian umat Islam supaya mentaati Raja-Raja kerana mereka (Raja-Raja) adalah Bayangan Tuhan di Bumi (Zillu’l-Lahi fi’l-Ardhi).

Kamu percaya dogeng Abbassid itu? Pada zamannya berlaku romansa Mansur al-Hallaj yang mengaku Ana’l-Haqq (Aku Kebenaran) supaya tinas masalah Bayangan Tuhan itu tadi. 

Menurut romansa itu beliau dijatuhkan hukuman mati oleh Junaid al-Baghdadi. Sejurus kemudian Junaid dilaporkan berkata, ‘Ma fi jubhi ghairu’l-Lah!’, yakni ‘Tiada di dalam jubah aku selain Allah.’

Ini cerita lama dalam budaya Islam. Apa perlu kita dihidangkan dengan cerita lapok sepertinya? Mana mungkin Melayu beroleh perpaduan fikiran, tambahan ada golongan yang hendak paksa manusia menuruti telunjuk mereka? 

Kebanyakan orang menolak fahaman Harussani sebagai songlap.

Islam tak lengkap. Ini kita perlu akui dan tidak sandar kepada kepercayaan dan emosi 
semata-mata dengan berkata Islam adalah sempurna.

Sampai sekarang undang-undang syariat tidak mampu menggantikan Common Law. Itu sebabnya Syariat tidak dapat dijadikan sistem undang-undang dan kehakiman yang tunggal di Malaysia.

Ada yang bertanya di mana hendak kita letakkan wira-wira Melayu seperti Kiayai Salleh, Syaikh Osman dan lain-lain pejuang yang telah selamatkan bangsa setelah Cina mengganas Melayu pada tahun 1942-46?

Mereka itu terdiri pada kategori lain, yakni tajali. Mereka lazimnya bukan ulama maupun ustaz. Mereka orang biasa yang menerima tajali dan hampir semua adalah orang-orang Jawi. 

Melayu sekarang dah tidak mempunyai tapak untuk beroleh perpaduan fikiran lagi. Umno dah belayar jauh dan dikuasai rasuah. Pas dasarnya tak kena. PKR, kata sebilangan orang, menagih ihsan Israel. Ulama, di antaranya celupar. Hanyutlah Melayu! Hanyut! 

Dipetik dari karya  –a.ghani ismail, 26 Mac 2012.
Share this article :

Post a Comment