Home » , » Transformasi Politik: cubaan berani Najib

Transformasi Politik: cubaan berani Najib


Kerajaan Malaysia akan meminda Akta Hasutan tetapi, pada masa sama, memastikan peruntukan berhubung mengenakan tindakan ke atas mereka yang mencetuskan huru-hara dan beberapa aspek lain yang berkaitan terus kekal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.


Beliau mendedahkan demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan 2012 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat di sini semalam, menurut beberapa media tempatan.
Datuk Seri Najib berkata semakan terhadap akta itu akan mengekalkan tiga prinsip dalam sebarang kerangka perundangan baru bagi menangani perbuatan dan perlakuan, termasuk mendatangkan kebencian atau penghinaan, serta tindakan yang membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di- Pertuan Agong, atau mana-mana raja di Malaysia.

'Selain itu, perundangan baru ini akan menangani perbuatan mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia,' kata beliau kepada ahli parlimen di Dewan Rakyat.
Menurutnya, semakan akta itu juga bertujuan mengelakkan manamana individu mempersoal sebarang perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau progresif yang ditetapkan atau dilindungi peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan, atau Perkara 151, 153 dan 181 perlembagaan itu.

Satu undang-undang baru akan juga digubal bagi menggantikan Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984 sebagai sebahagian daripada usaha transformasi politik kerajaan Malaysia, kata Datuk Seri Najib.
Dua langkah semakan undangundang itu mencerminkan bahawa kerajaan Malaysia terus komited terhadap usaha ke arah proses pembaharuan politik, tambahnya.
'Kami tidak takut untuk bersaing dalam arena demokratik dan kami juga tidak takut untuk membandingkan idea-idea dan dasar-dasar dengan sesiapa sahaja.

'Kerajaan terbuka kerana kami percaya bahawa era yang mana kami tahu segala-galanya sudah berakhir dan kami sedar tentang era kerajaan memonopoli kebijaksanaan sudah berlalu,' kata beliau.
Berhubung rang undang-undang akta kesalahan keselamatan itu, Datuk Seri Najib berkata kerajaan Malaysia telah mengambil keputusan mengadakan tujuh lindung jamin berikutan penggubalannya.
Antara langkah dalam rang undang-undang yang bertujuan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 itu ialah tiada sesiapa boleh ditangkap atau ditahan berdasarkan kepercayaan atau kegiatan politiknya.

Peruntukan Seksyen 4 Sub-Seksyen 3 rang undang-undang itu menetapkan 'tiada seorang pun boleh ditangkap dan ditahan di bawah seksyen ini semata-mata atas kepercayaan politiknya atau aktiviti politiknya'.
Sebuah mahkamah tinggi baru juga akan dibentuk untuk mendengar kes-kes di bawah akta kesalahan keselamatan yang disemak itu, dedah Datuk Seri Najib lagi. 
Share this article :

Post a Comment