Pihak berkuasa Arab Saudi telah melancarkan gerakan mengesan sekumpulan rakyat Malaysia yang menganjurkan perhimpunan Bersih 3.0 di Makkah dan Madinah pada 28 April lalu.
Menurut sumber yang rapat dengan kerajaan negara itu, agensi risikan Arab Saudi juga sedang memburu dua pemimpin politik pembangkang Malaysia kerana disyaki menjadi dalang perhimpunan berkenaan yang diadakan di Restoran D' Saji, Hotel As-Safwah berhampiran Masjidilharam.
'Peserta perhimpunan tersebut dikehendaki pihak berkuasa di sana kerana dipercayai menyampaikan ucapan dengan tujuan menghasut rakyat Arab Saudi agar menyertai gelombang Arab Spring dan bangkit menentang pemerintah.
'Segala tindak-tanduk ahli-ahli kumpulan yang memakai baju berwarna kuning sambil memegang kain rentang menyokong Bersih 3.0 itu diketahui pihak berkuasa Arab Saudi menerusi rakaman kamera televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi perhimpunan,' kata sumber itu kepada akhbar Mingguan Malaysia, kelmarin.
Menurut sumber diplomatik perbuatan kelompok tersebut boleh menjejas hubungan diplomatik dan kerjasama yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dengan Arab Saudi.
Dan dikatakan kerajaan Arab Saudi mungkin mengetatkan prosedur kemasukan jemaah haji dan umrah dari Malaysia menyusuli insiden tersebut, selain kesukaran menambah kuota jemaah haji, pelajar Malaysia sukar dikhuatiri mendapat tajaan daripada kerajaan Arab Saudi dan peluang rakyat Malaysia bekerja di negara itu tertutup.
Difahamkan, Kedutaan Arab Saudi di Malaysia sedang mengumpulkan maklumat berhubung rakyat Malaysia yang terlibat dalam perhimpunan haram yang diadakan di Tanah Suci itu.


Post a Comment