Selepas lebih setahun membuat andaian dan mengambil kira ucapan pembukaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, sempena meraikan ulang tahun Umno ke-66 Jumaat lalu, pemerhati dan ahli politik serta penulis blog setempat semakin yakin bahawa Parlimen akan dibubarkan minggu ini. Ertinya, pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) negara itu mungkin diadakan bulan depan.
Malah, laporan blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) disebar luas sambil mengatakan bahawa Parlimen akan dibubarkan Selasa ini, manakala penamaan calon akan berlangsung pada 26 Mei diikuti dengan tarikh pengundian pilihan raya pada 9 Jun, atau selepas 14 hari tempoh berkempen, kata beberapa laporan media setempat.
Laporan versi dalam talian akhbar Sinar Harian, semalam, berkata ramalan itu turut mengambil kira tempoh cuti sekolah selama dua minggu yang akan bermula pada 28 Mei ini.
'Berdasarkan maklumat yang saya terima, Perdana Menteri akan bubar Parlimen pada Isnin,' kata seorang pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional (BN) kepada Sinar Harian, kelmarin.
'Nampak gaya Perdana Menteri lebih yakin ekoran sambutan yang diberikan oleh ahli Umno,' katanya lagi.
Ketika ditanya tentang Datuk Seri Najib yang akan berada di Britain dan Amerika Syarikat bagi menghadiri majlis konvokesyen dan kemudiannya bercuti, pemimpin berkenaan berkata, 'itu satu rutin, ini perkara lebih penting'.
Semasa diajukan soalan sama kepada Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN di Parlimen, Datuk Bung Moktar Radin, memberitahu akhbar itu bahawa pihaknya kini berada dalam keadaan yang 'cukup bersedia' bagi menghadapi PRU 13.
'Saya tidak terkejut jika Parlimen dibubarkan minggu depan (minggu ini), apapun keputusan akhir di tangan PM (perdana menteri),' katanya, yang juga Ahli Parlimen (AP) Kinabatangan.
Beliau, yang turut menghadiri sambutan ulang tahun ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, berkata mesej perhimpunan kali ini menunjukkan bahawa 'pilihan raya sudah semakin dekat'.
'Memang pilihan raya sudah semakin dekat. Hanya tunggu untuk mendengar semboyan PRU,' ujarnya lagi.
Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Encik Ibrahim Suffian, pula berkata, 'Berdasarkan apa yang saya dapat lihat semalam (kelmarin), nampaknya Umno kini sudah bersedia'.
Menurutnya, beliau tidak berasa terkejut jika Datuk Seri Najib, selaku Pengerusi BN, memutuskan membubarkan Parlimen minggu ini.
Pengamat politik daripada Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang, Profesor Madya Dr P. Sivamurugan, akur dengan pandangan itu sambil berkata bahawa PRU 13 akan diadakan sebelum Ramadan pada 'awal Jun ini'.
Sedang timbalan speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi, melihat kenyataan Datuk Seri Najib pada Jumaat lalu bahawa beliau akan berjumpa Yang Dipertuan Agong Malaysia 'esok' sebagai satu gurauan, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi, pula berkata ia membayangkan hasrat perdana menteri Malaysia itu mahu membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.
Walau apa sekali pun, Dr Wan Junaidi berkata Datuk Seri Najib perlu menyelesaikan isu syarikat nadir bumi Lynas dahulu, manakala Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) hanya akan membentangkan laporannya mengenai hal itu pada awal Julai ini.
Beliau meramalkan PRU 13 diadakan pada awal Julai atau September ini- Cyberita,

Post a Comment